34.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Usaha kerajaan tangani pandemik semakin berhasil – PM

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Kerajaan akan mempergiatkan program imunisasi COVID-19 rakyat setelah melihat usaha vaksinasi itu menampakkan kejayaan dalam menangani pandemik tersebut, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan membekalkan lebih banyak vaksin ke negeri-negeri yang menunjukkan kadar vaksinasi belum mencapai 40 peratus daripada jumlah penduduk.

Antaranya, sebanyak 2 juta dos vaksin tambahan telah dibekalkan kepada Johor baru-baru ini dan akan menambah 1.5 juta dos vaksin lagi untuk negeri Sabah dalam bulan ini.

“Ia adalah sebahagian usaha yang dilakukan bagi mempercepatkan vaksinasi yang juga turut ditumpukan di negeri-negeri lain yang sedang mengalami peningkatan kes.

“Setakat ini, sebanyak 44.1 peratus daripada populasi dewasa di dalam negara telah pun menerima vaksinasi lengkap manakala 72.1 peratus telah menerima suntikan dos pertama,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Muhyiddin berkata, semua pencapaian ini tidak mungkin dapat dilihat pada hari ini tanpa perancangan yang rapi dan pelaksanaan strategi yang kukuh oleh kerajaan, serta kerjasama dan sokongan yang sangat baik daripada rakyat.

Katanya, sebagai bukti sejak 26 Julai lalu, kerajaan melaksanakan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang bagi mempercepatkan proses vaksinasi terutamanya terhadap penduduk Kuala Lumpur dan Selangor.

Jelas beliau, berkat usaha gigih dan kerjasama yang amat baik daripada semua pihak kadar pemberian vaksin lengkap di Lembah Klang telah mencapai 64.7 peratus manakala kadar pemberian vaksin untuk dos pertama sahaja telah pun mencecah 104.2 peratus.

Malahan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Jumaat lalu menyatakan kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital bagi semua kumpulan umur mula menunjukkan penurunan.

“Kita juga sudah mula melihat perkembangan awal yang positif daripada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di beberapa buah negeri iaitu di WP Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan negeri-negeri Lembah Klang (Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya).

“Data yang dikumpul oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan setakat ini, kesemua negeri yang dinyatakan telah mula menunjukkan penurunan bilangan kes bagi kategori 3 hingga 5 apabila liputan dos lengkap vaksin COVID-19 bagi populasi dewasa (18 tahun dan ke atas) telah melebihi 40 peratus.

Muhyiddin juga gembira apabila semalam Labuan mencapai sifar kes COVID-19 buat kali pertama sejak Februari lalu berikutan kejayaan pulau itu menjadi negeri pertama mencapai imuniti kelompok iaitu melebih 80 peratus daripada penduduknya.

“Ini adalah satu perkembangan yang sangat baik dan diharapkan dapat dilihat berlaku di negeri-negeri lain juga, Insya-Allah,” katanya.

Advertisements

Pada masa yang sama, beliau memberitahu, data Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) bagi hospital menunjukkan situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang juga bertambah baik.

“Contohnya purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di negeri-negeri Lembah Klang telah menurun.

“Pada 31 Julai lalu, purata sehari pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan adalah 909 orang.

“Alhamdulillah, hasil perancangan rapi kerajaan dan pelaksanaan strategi oleh KKM serta kesan vaksinasi, purata sehari pesakit yang menunggu telah menurun kepada 239 orang Jumaat lalu,” katanya.

Muhyiddin turut berharap agar trend penurunan ini akan berterusan dan dapat mengurangkan beban kes COVID-19 yang serius serta kemasukan pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Walaubagaimanapun, kapasiti pesakit di ICU masih lagi penuh memandangkan rawatan pesakit di ICU adalah jauh lebih rumit dan memakan tempoh lebih panjang berbanding di wad biasa,” katanya.

Sehubungan dengan itu beliau amat menghargai pengorbanan seluruh rakyat Malaysia.

“Rakyat Malaysia, anda semua adalah insan yang hebat. Anda semua begitu tabah dan sabar mengharungi pandemik ini walaupun pada hakikatnya amat sukar untuk dilakukan.

“Insya-Allah, data-data yang dikongsikan ini menunjukkan perkembangan yang baik.

“Segala usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) semakin hampir dengan kejayaan dan Insya-Allah kita pasti akan berjaya keluar dari cengkaman pandemik ini dengan teratur dan selamat melalui Pelan Pemulihan Negara.

“Ingin saya ulangi strategi kerajaan adalah jelas, lebih ramai yang divaksinasi dengan lengkap, lebih ramai penduduk Malaysia yang dilindungi dari jangkitan dengan teruk, lebih kurang beban kepada sistem kesihatan awam kita dan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dapat dibuka supaya kita kembali berperingkat-peringkat ke kehidupan norma baharu.

“Apa yang lebih penting, jangan sesekali kita berputus asa dengan cabaran ini dan lupa bahawa COVID-19 adalah musuh utama kita semua.

“Semoga Allah S. W. T sentiasa memberkati perjuangan dan usaha kita bersama, Insya-Allah,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan