24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Syarikat pembuatan wajib isytihar kadar vaksin pekerja – MITI

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengingatkan syarikat sektor pembuatan diwajibkan mengisytiharkan kadar vaksinasi lengkap pekerja mereka menerusi sistem COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.

Beliau berkata, pengisytiharan menerusi CIMS 3.0 itu hanya untuk sektor pembuatan sama ada perkhidmatan perlu dan tidak perlu.

Menurut MITI, pada masa yang sama pihak syarikat juga diwajibkan melaksanakan Ujian RTK Antigen yang sah sama ada secara ujian kendiri ataupun fasiliti kesihatan setiap dua minggu bagi pekerja yang hadir bekerja.

“Akses ke CIMS 3.0 untuk pengisytiharan ini adalah terhad kepada sektor pembuatan sahaja.

“Pengesahan mengenai kadar vaksinasi pekerja akan dibuat melalui semakan dengan pihak Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),” kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian itu berkata, anggota penguatkuasaan akan membuat lawatan verifikasi secara berkala ke atas syarikat-syarikat sektor pembuatan terbabit bagi memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dipatuhi.

“Ini sebagai langkah proaktif untuk mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja.

“SOP semasa seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan lain-lain adalah masih terpakai dan wajib dilaksanakan syarikat,” katanya.

Advertisements

MITI menegaskan mana-mana pihak yang melanggar pematuhan SOP sepenuhnya bakal berdepan tindakan undang-undang termasuk kompaun atau penutupan operasi syarikat untuk tempoh tertentu.

Sebarang lanjut mengenai operasi syarikat di dalam sektor pembuatan, orang ramai boleh menghubungi talian 03-6208 4949 atau melayari www.miti.gov.my.

Bagi sektor-sektor ekonomi yang lain pula, perlu dirujuk kepada Kementerian atau agensi yang menyelia sektor masing-masing.

Untuk rekod, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah memperlihatkan kejayaan dalam mempercepatkan pencapaian imuniti kelompok (herd immunity) di kalangan penduduk Malaysia.

Setakat pukul 11.59 malam semalam, 16,868,615 individu telah berjaya diberikan satu dos vaksinasi manakala 10,425,300 telah mendapat kedua-dua dos vaksin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan 11 sektor ekonomi di bawah kategori perkhidmatan tidak perlu dibenarkan beroperasi semula untuk negeri-negeri Fasa 1 PPN berkuat kuasa esok.

Antaranya ialah kedai cuci kereta; kedai elektrik dan elektronik; kedai barangan rumah dan peralatan dapur; kedai perabot; kedai peralatan sukan; kedai aksesori kereta serta pusat pengedaran dan jualan kereta.

Selain itu, pasar pagi dan pasar tani sahaja; kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas serta kedai gunting rambut dan pusat atau salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja). – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan