34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Sindiket tipu tawaran kerja, 3 lelaki ditangkap

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Polis menahan tiga lelaki warga tempatan dipercayai terlibat dalam aktiviti sindiket penipuan tawaran kerja dalam talian membabitkan nilai kerugian keseluruhan RM2,394,430.14 menerusi satu serbuan di Taman Desa Skudai, Johor Bahru, Johor, Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, bermula Januari hingga 12 Julai lepas, sebanyak 164 laporan polis telah diterima berkaitan penipuan tawaran kerja ejen jualan platform e-dagang yang dipercayai turut mempunyai jalinan kerjasama dengan sindiket antarabangsa dan turut menipu mangsa daripada negara Singapura.

“Susulan itu, JSJK serta pihak berkuasa Singapura melakukan serbuan dan pemeriksaan di sebuah kondominium mewah di Taman Desa Skudai, Johor Bahru, Johor Khamis lalu dipercayai pusat operasi sindiket tersebut.

“Tiga individu warga tempatan berusia 21 hingga 27 tahun ditahan dalam serbuan itu, serta polis turut merampas dua unit komputer riba, tujuh unit telefon bimbit, satu unit tablet, 12 keping kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), seutas jam tangan, dua unit router, dua keping token dan beberapa dokumen berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Kamarudin berkata, berdasarkan siasatan, sindiket itu mula beroperasi sejak Jun lepas menggunakan media sosial seperti Instagram dan Facebook dengan menawarkan peluang pekerjaan sebagai ejen syarikat untuk membeli barangan yang diiklankan melalui platform e-dagang.

Menurutnya, pembelian tersebut didakwa untuk menaikkan rating dan nilai jualan syarikat yang berkaitan, manakala pendapatan harian yang dijanjikan ialah antara RM200 hingga RM300 dan mangsa yang berminat akan menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp mengandungi pautan untuk barangan yang perlu dibeli.

“Bagi setiap barangan yang dibeli mangsa akan dibayar semula nilai barangan tersebut beserta tambahan komisyen sebanyak lima hingga lapan peratus,” jelasnya.

Tambah beliau, proses pembelian dan bayaran semula akan berulang-ulang dimulai dengan barangan murah namun, apabila mangsa membuat pembelian barangan yang mahal, bayaran balik tidak lagi dibuat atas alasan masalah pemindahan wang.

“Mangsa juga diminta untuk membuat bayaran ke akaun dalam akaun keldai kononnya sebagai yuran pemprosesan, penalti cukai, tukaran wang asing dan sebagainya. Mangsa sedar ditipu apabila wang dijanjikan tidak diterima walaupun mereka telah membuat pembayaran wang,” ujarnya.

Berdasarkan hasil rampasan menurutnya, sindiket itu dipercayai mempunyai kaitan dengan 95 laporan polis melibatkan mangsa di Singapura dengan nilai kerugian berjumlah SGD690,000 (RM2.15 juta) dan sekurang-kurangnya satu laporan polis di Malaysia melibatkan kerugian bernilai RM21,700.

“Hasil siasatan mendapati, kesemua suspek berperanan untuk memindahkan wang hasil penipuan daripada akaun keldai ke dalam akaun e-wallet yang diberikan oleh pihak atasan sindiket itu. Mereka ditugaskan untuk membuat pembelian wang krypto dan menerima komisen sebanyak 0.2 peratus dengan nilai anggaran SGD600 (RM1,870) setiap hari,” katanya.

Menurutnya, usaha mengesan saki baki sindiket yang masih bebas sedang giat dijalankan oleh pihak polis negara dan polis Singapura.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997. Tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan, Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA 2001) turut dikenakan,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Lebih 27,000 kandungan diturunkan sejak awal tahun – MCMC

SEBANYAK 27,115 kandungan bersifat provokatif melampau dalam media sosial dan platform Over The Top (OTT) telah diturunkan dalam tempoh...

Lagi Artikel Berkaitan