32.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 2, 2022

Penggiat seni makin ‘tenat’, mohon benarkan penggambaran

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) memohon kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan secepat mungkin susulan sebahagian daripada 7,000 ahli persatuan dikesan terjejas susulan pendemik Covid-19 ini.

Gesaan berkenaan dibuat oleh Pengarah drama terkenal, Rashid Sibir bersama Presiden SENIMAN, Zed Zaidi dan pelakon, Husna Mustaffa menerusi program FDAM Live dengan tajuk ‘Bila Kami Boleh Shooting?’ yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), 11 Ogos lalu.

Menurut Presiden Seniman, Zed Zaidi, susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ketika ini ramai dalam kalangan artis hidup susah kerana tidak bekerja dan sewajarnya kerajaan dapat mencari satu mekanisma baharu bagi membantu penggiat snei dapat kembali bekerja dengan lebih cepat.

“Sebelum ini kita mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) tertentu tapi kali ini impak lagi serius. Kita tidak berkerja berbulan-bulan nak sampai bertahun dan saya juga dapat pelbagai reaksi ahli, dulu kita boleh bantu bukan duit tapi dari sudut badan korporat  membantu artis kita.

“Kita bukan nak bergantung pada bantuan, kita boleh bekerja cuma tidak diberi ruang bekerja kerana masih menunggu SOP tertentu. Kita tahu dari pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), ada boleh mula penggambaran tapi hanya melibatkan untuk menghabiskan penggambaran saja,” katanya.

Ujarnya, bukan semua artis mampu meneruskan kelangsungan hidup apabila tidak bekerja dan hanya bergantung pada duit simpanan. 

“Mungkin dalam kalangan 7,000 artis ini hanya 10 peratus boleh ‘survive’ kerana mereka artis popular dan dapat banyak ‘job’. Jika 10 peratus mungkin dia pun tak boleh ‘survive’, bagaimana pula dengan 90 peratus yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.

“Ketika mula dilanda pandemik pada tahun lepas, kami juga mempunyai masalah sama di mana pertama kali kena, tak tahu bagaimana nak bantu ahli tapi apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung hingga Pelan Pemulihan Negara (PPN), ini menambah parah pada industri seni kita.

Baginya, selain SOP mengenai dua vaksin wajib sebelum kembali bekerja, FINAS perlu mencari mekanisma supaya tak kira ‘swab test’ atau vaksin tetapi satu formula agar penggiat  seni boleh ‘shooting’ tanpa syarat tersebut.

“Jika ikut PPN, belum tentu kawasan kita boleh mula ‘shooting’. Tidak adil kilang boleh buka tapi aktiviti seni tidak boleh sedangkan kami juga penyumbang pada ekonomi negara.

Baca juga:   Pengarah filem, Mamat Khalid meninggal dunia
Baca juga:   Tak perlu tunggu 14 hari nak buat sidang Parlimen – Tun M

“Kita faham agensi kerajaan bekerja dari rumah, tak boleh dapat keputusan on-the-spot dan saya tidak salahkan netizen apabila mengatakan kenapa industri seni nak dapat keutamaan?

“Kita adalah suara akar umbi iaitu persatuan seni daripada ahli, kita mengangkat isu mengikut saluran yang betul dan kami memohon pihak tertentu supaya kita tak lagi buat keputusan berbolak-balik,” katanya.

Bagi Rashid pula, semua pihak sama ada golongan artis atau kerajaan sudah faham apabila masuk PKP 3.0.

“Saya bukan nak menyalahkan sesiapa tapi nak bagi lebih kefahaman bahawa kami semua sedang tenat. Kita memang nak minta ‘shooting’ supaya boleh bagi makan pada keluarga.

“Bukan nak merayu atau merintih sangat-sangat, kita anak seni ada cara sendiri. Jadi, saya berasakan selepas ditutup 120 hari lebih kurang sejak Mei, kita seharusnya dilepaskan berkerja.

“Minta maaf cakap Jepun berjaya buat Sukan Olimpik dengan SOP yang ditetapkan. Apa salahnya kita belajar daripada mereka, kebaikan yang mereka lakukan, bagaimana mereka mengawal SOP dan menjaga atlet berpuluh ribu terlibat berjaya dilakukan sedangkan kita hanya 20 orang dalam satu set penggambaran susah dilepaskan untuk bekerja,” katanya.

Tambahnya lagi, SOP ditetapkan ketika ini terlalu ketat untuk penggiat seni seperti ‘nak bagi tapi tak nak bagi’ dan ia adalah suatu tindakan kejam pada anak seni yang mencari rezeki.

“Saya meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang terlalu meletakkan SOP ketat hingga dikatakan FINAS tidak boleh lawan, apa perlu kita buat. Anak seni bagi letak apapun kita boleh ikut tapi jangan sampai jerat leher kita sendiri untuk bekerja. 

“Saya kali ini berasa amat kecewa kerana tidak dapat membantu ramai orang. PKP kali ini terlalu sesak dan nazak, apabila saya mendapat telefon dan mesej daripada kru, pelakon dan semua bertanya kenapalah susah nak benarkan kita semua bekerja,” katanya.

Akuinya, SOP yang dikeluarkan amat ketat dan penggiat seni faham serta akur pandemik COVID-19 ada di mana-mana.

“Bukan kita nak langgar SOP tapi nak cari rezeki pun payah nak dilepaskan. Jika AstraZeneca kena tunggu dua bulan, apa salah diwajibkan ‘swab test’ seperti sebelum ini sebelum ‘shooting’.

Baca juga:   Tapislah internet, Netflix… Masyarakat kita makin parah

“Pada saya dulu kita buat ‘swab test’ tahan 3 bulan, sekarang kos ditanggung produser. Pada stesen TV naik la harga supaya kami boleh tidur lena, semua orang harus mempermudahkan kehidupan masing-masing, hidup singkat biar memberi makna pada orang lain,” katanya.

Baginya, syarat SOP mewajibkan dua vaksin tidak memberi masalah untuk dipatuhi tetapi syarat itu lambat dimaklumkan pada penggiat seni.

“Perancangan awal kena ada bukan esok nak buat, hari ini kita baru nak bercakap. Kami menghargai Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan FINAS nak jaga orang seni tapi jangan macam-macam.

“Kita boleh ikut SOP dan kalau tempat itu bahaya kita tidak akan pergi. Jangan terlalu menyekat banyak benda, beri kepercayaan pada anak seni untuk bekerja.

Baca juga:   Negeri Fasa 2 tak akan 'berpatah balik' ke Fasa 1 - Tengku Zafrul

“Apabil shooting, ia membuka banyak ekonomi sebab kami bayar lokasi, begitu juga sektor makanan ambil katering dan kita juga bayar mereka sebagai pelakon ekstra.

“Jangan terlalu rigid pasal shooting. Kita membawa keceriaan pada orang lain. Kerajaan harus fikir bagaiamana nak lepas penggambaran dalam keadaan ketika ini kerana semua orang memerlukan duit untuk hidup.

“Perdana Menteri tolong lepaskan kami bekerja, jangan cakap ‘kebajikan bukan kerja saya’ sebab FINAS macam seorang bapa pada anak-anak.

“Kita membuktikan tiada kluster pun dan kita sebenarnya tidak mahu bantuan kerajaan tapi lepaskan kami bekerja. Saya sebagai pengarah sedih bila kru telefon dan kita menjadi tempat mereka mengadu,” katanya.

Rashid berharap kerajaan dapat menggunakan penggiat seni sebagai bahan dalam menyampaikan kempen mengenai COVID-19.

“Kita harus bersatu. Kita harus ingat masa pandemik, kerajaan boleh guna kita sebagai kempen menyampaikan maklumat berdepan COVID-19. Sepatutnya pada masa ini, kita tunjuk secara visual agar masyarakat lebih faham,” katanya.

Sementara itu, bagi Husna pula, dia mengakui pendapatan penggiat seni sepertinya terjejas akibat penggambaran tidak dapat dijalankan dalam tempoh yang panjang.

“Macam manusia, kita perlu makan dan beribadat, kita juga perlukan hiburan. Saya sendiri ada projek on off dan pendapatan saya 100 peratus bergantung pada ‘shooting’ untuk berlakon dan modeling.

“Ia agak terkesan pada saya, walaupun ada bisnes, pendapatan tak banyak. Saya harap sangat jasa baik kerajaan agar kita dapat bekerja demi kelangsungan hidup kita,” katanya. – Edisi9

Terkini

Aktif dalam pertubuhan belia bantu tambah merit ke IPTA

Oleh MOHD FAUZI FADZIL LAPORAN terbaru yang dibentangkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar menunjukkan bahawa...

Lagi Artikel Berkaitan