
“NABI Muhammad SAW wafat pada usia 63 tahun dan saya hidup pada usia subsidi diberi Allah.”
Itulah hantaran terakhir penyajak terkenal Pyanhabib menerusi Facebook beliau enam hari lalu, ketika meraikan harijadinya yang ke-66 bersama isteri dan dua cucunya.
Kata-katanya itu bagaikan petanda bahawa ajalnya hampir tiba tidak lama lagi dan malam ini beliau dilapor menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Hulu Klang, dekat Kuala Lumpur.
Berita duka itu disampaikan sendiri oleh isterinya menerusi Facebook milik Pyanhabib malam ini.
“Assalamualaikum. Innalillahiwainna hilairajiun. Suami saya Pyanhabib yang anda kenal sudah tiada. Kembali pada pencipta-Nya.
“Maafkan kesalahannya doakan yang baik-baik untuknya,” tulisnya.

Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman lahir pada 27 Mei 1958 dan berasal dari Taiping, Perak.
Allahyarham aktif menulis dan membaca puisi sejak 1976 bersama Anak Alam dan mencetuskan fenomena baca puisi di bawah tiang lampu 10 tahun kemudian.
Beliau juga terbabit dalam teater dan lakonan filem, serta menulis beberapa buah buku.
Anak Alam ialah kumpulan seni yang diasaskan pada dekad 1970-an oleh sekumpulan seniman tanah air yang disertai penyair, pemain teater, penulis dan pelukis.
Tidak hanya berkarya menerusi ekspresi seni, kumpulan itu juga mengulas isu masyarakat seperti kemiskinan menerusi karya mereka.
Pada tahun 2023, Allahyarham dianugerahkan Tokoh Penyair Kuala Lumpur 2023 oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).
Al-fatihah. – Edisi 9