Tuesday, July 21, 2026

IMHome, KAB Gold tawar pembelian rumah guna emas

Mesti Baca

IMHOME Property Management Sdn Bhd (iMHome), hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan KAB Goldynamics Sdn. Bhd. (KAB Gold) bertujuan membolehkan orang ramai yang memiliki pegangan emas fizikal membina rumah kediaman idaman mereka.

Majlis berlangsung di ibunegara ini turut dihadiri Ketua Pegawai Pemasaran iMHome Sdn Bhd, Shahrul Izuan Shafie dan Ketua Pegawai Eksekutif KAB Goldynamics Sdn Bhd, Khairul Anuar Basri.

Shahrul Izuan berkata, ini merupakan kerjasama ‘menang-menang’ pertama seumpamanya diperkenalkan dengan menjadikan pegangan emas tersebut sebagai kaedah pembayaran alternatif kepada rakyat Malaysia.

Ditubuhkan pada tahun 2016, iMHome property sebuah syarikat kontraktor Bumiputera sudah membangunkan beratus-ratus buah rumah kediaman pelbagai jenis berkualiti tinggi di seluruh negara melalui pembayaran secara tunai.

Shahrul Izuan berkata, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan KAB Gold dalam menawarkan solusi terbaharu yang memberi peluang kepada orang ramai menggunakan pegangan emas sama ada jongkong, kepingan emas atau barangan kemas untuk membina rumah kediaman yang diinginkan.

“Kini, semakin ramai yang membeli emas bagi tujuan pelaburan atau simpanan masa depan mereka. Popularitinya meningkat kerana ia menawarkan keuntungan yang berlipat kali ganda sejak kebelakangan ini.

Shahrul Izuan Shafie (kiri) dan Khairul Anuar Basri.

“Di bawah kerjasama ini, iMHome akan membangunkan rumah kediaman manakala KAB Gold pula bertindak sebagai pengurus transaksi jualan emas antara pelanggan dengan iMHome property termasuklah menentu sahkan ketulenan dan nilai semasa pegangan emas fizikal tersebut,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shahrul Izuan, KAB Gold akan menukar pegangan emas milik pelanggan yang terlibat kepada tunai sebelum dijadikan wang pendahuluan sehingga 50 peratus daripada kos pembinaan rumah kediaman.

“Kami melihat usaha ini sebagai langkah penting dalam meningkatkan keupayaan rakyat Malaysia untuk memiliki rumah sendiri. iMHome property misalnya menawarkan pelbagai reka bentuk rumah kediaman serendah RM65,000 dan ke atas,” katanya.

Shahrul Izuan berkata, kemudahan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia termasuk juga 40,000 ahli KAB Gold di seluruh negara.

Katanya, mereka yang mempunyai pegangan emas fizikal juga boleh membina rumah inap desa bagi meningkatkan pendapatan, sekali gus menjadi usahawan dalam perniagaan tersebut.

Ini merupakan antara dimensi baharu pemasaran syarikat selain memperluaskan lagi akses kepada pemilikan rumah yang lebih fleksibel dan inovatif.

“Kami mahu membantu lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah idaman mereka, sambil memanfaatkan pegangan emas sebagai aset untuk pembayaran.

“Ini tidak hanya memudahkan proses pemilikan rumah, tetapi juga memberikan peluang ekonomi yang lebih luas kepada masyarakat,” kata beliau lagi.

Khairul Anuar pula berkata, kerjasama yang dimeterai kedua-dua pihak adalah bertujuan mendidik rakyat Malaysia supaya melihat emas bukan sekadar alat pelaburan semata-mata.

Beliau berkata, langkah memanfaatkan simpanan emas untuk memiliki rumah kediaman, dijangka dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menyimpan emas terutamanya melalui KAB Gold.

“Kemudahan ini adalah satu peluang yang sangat baik dalam memiliki rumah secara bayaran penuh tanpa perlu bergantung kepada hutang pembiayaan yang agak membebankan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan