28.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

PM-9: Ahli Parlimen perlu kemuka SD sebelum 4 petang esok

Mesti Baca

CYBERJAYA – Ahli-ahli Parlimen diberi tempoh sehingga 4 petang esok untuk mengemukakan surat akuan (SD) menamakan calon Perdana Menteri baharu pilihan masing-masing.

Berdasarkan surat pekeliling yang dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun hari ini, satu nama sahaja yang boleh dikemukakan oleh setiap orang.

“Pada melaksanakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya dengan ini memberi notis kepada Yang Berhormat supaya menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Yang Berhormat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia Yang Ke-19,” kata notis tersebut yang tular menerusi media sosial hari ini.

Azhar berkata, surat akuan tersebut perlu diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya esok, 18 Ogos sebelum 4 petang secara faksimili, e-mel atau Whatsapp.

Manakala serahan tangan pula, jelas beliau, tidak dibenarkan memandangkan Istana Negara masih berada dalam kawasan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan mengelak penularan COVID-19.

Azhar berkata, surat akuan tersebut tidak mempunyai format tertentu tetapi perlu dilengkap dengan butiran identifikasi masing-masing serta identifikasi calon PM9.

Advertisements

Selain itu, surat akuan tersebut juga perlu mempunyai pernyataan kepercayaan yang terang, jelas dan tanpa syarat serta bertandatangan.

Surat akuan itu juga perlu ditandatangan oleh seorang saksi sama ada peguambela atau peguamcara, pesuruhjaya sumpah, notaris awam atau jawatan yang setanding dengan Ahli Parlimen yang berada di luar negara serta tarikah surat tersebut.

“Perlu dijelaskan, mana-mana surat akuan Yang Berhormat yang tidak mematuhi perkara-perkara di atas ataupun yang diterima lewat tidak akan diambil kira,” kata Azhar dalam pekeliling tersebut.

Jawatan Perdana Menteri kosong berikutan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam setelah beliau hilang kepercayan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong akan melaksanakan budi bicara baginda untuk melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang mengikut hemat baginda mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat yang lain. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Piala Asia B23: Pemain muda balik tangan kosong dari Qatar

DUA minggu berkampung di Doha, Qatar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sehingga korbankan hari raya Aidilfitri bersama keluarga ...

Lagi Artikel Berkaitan