26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pas menjelang PRU-15: Satu pengenalan

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

PENUBUHAN Parti Islam Se-Malaysia (Pas) bertujuan mewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang melaksanakan nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah SWT di Malaysia.

Pada dasarnya parti itu diasaskan oleh sekumpulan alim ulama dan masyarakat Islam/Melayu yang ingin mempertahankan kesucian agama Islam dan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957.

Berdasarkan sejarah pilihan raya umum (PRU), Pas pernah memerintah di empat buah negeri iaitu Kelantan dari tahun 1959 hingga 1977 dan 1990 hingga sekarang; Terengganu (1959 hingga 1962, 1999 hingga 2004 dan 2018 hingga sekarang); Perak (2008 hingga 2009) dan Kedah dari tahun 2008 hingga 2013 dan 2020 hingga sekarang.

Pas juga pernah menganggotai kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah Malaysia dari tahun 1974 hingga 1977.

Parti itu juga turut bersama dalam kerajaan campuran di Selangor (2008 hingga 2018) dan Perak (2008 hingga 2009) melalui gabungan Pakatan Rakyat (PR) dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Democratic Action Party (DAP).

Setelah PRU 1982, Datuk Yusuf Rawa mengambil alih jawatan Yang Di Pertua Pas (kini dikenali sebagai Presiden) dan menjenamakan semula parti tersebut di bawah slogan “Kepimpinan Ulama”.

Pada PRU 1999, di bawah kepimpinan Datuk Fadzil Mohd Noor, Pas menyertai gabungan Barisan Alternatif (BA).

Kerjasama ini telah mencatatkan kejayaan yang cemerlang Pas dengan memenangi 27 kerusi Parlimen dan 98 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu jumlah kerusi paling tinggi dalam sejarah PRU di Malaysia.

Pada tahun 2002, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Presiden Pas setelah kematian penyandangnya, Fadzil.

Kepimpinan ulama terus menjadi pilihan pengundi Pas.

Pada PRU 2008, Pas telah menyertai Pakatan Rakyat (PR) bersama PKR dan DAP. Gabungan ini telah mencatatkan kejayaan Pas di Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor.

Pada PRU-14, Pas hanya memenangi 18 kerusi Parlimen iaitu sembilan di Kelantan, enam di Terengganu dan tiga kerusi di Kedah.

Namun, Pas masih menguasai Kelantan dan kembali membina kerajaan negeri di Terengganu.

Pada peringkat DUN, Pas telah memenangi 37 kerusi di Kelantan, Terengganu (22), Kedah (15), Pahang (lapan), Perak (tiga), Perlis (dua) dan masing-masing satu kerusi di Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

Setelah PRU-14, Pas dan UMNO mula menjalinkan kerjasama melalui Muafakat Nasional (MN) yang ditandatangani pada 14 September 2019.

Kerjasama tersebut telah menyaksikan perseteruan klasik berdekad lamanya di antara dua parti Melayu-Islam kini bercantum kembali.

Ia juga dilihat mampu menggugat kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) telah di menangi oleh BN.

Apabila berlakunya perubahan politik negara melalui Langkah Sheraton pada Februari 2020, Pas menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu, BN, pecahan PKR (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Namun, sejarah telah membuktikan bahawa semua kerjasama politik Pas sentiasa menemui kegagalan.

Justeru, persoalannya kini hanyalah sejauh mana perjanjian Pas melalui MN dan gabungan dalam PN mampu bertahan dalam arena politik di Malaysia?

  • Dr Mohd Sadad Mahmud adalah Pensyarah Kanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA). Artikel ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan