CYBERJAYA – Malaysia bakal menerima sumbangan satu juta dos vaksin COVID-19 daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang disumbangkan secara percuma bagi membantu Malaysia memerangi pandemik itu.
Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam perkongsian di Twitter berkata, sumbangan itu adalah hasil hubungan akrab antara Malaysia dan UAE, yang terus membawa manfaat bermakna terhadap usaha menangani cabaran pandemik COVID-19.
“Negara kita bakal menerima satu juta dos vaksin secara percuma sumbangan UAE. Syukur Alhamdulillah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ia bukan kali pertama UAE menghulurkan bantuan kepada Malaysia , berikutan negara itu turut menyumbang peralatan perubatan tahun lalu, yang membantu Malaysia di awal penularan wabak itu.
“Ini bukan kali pertama UAE hulur sumbangan. Tahun lepas, kita terima lebih tujuh tan peralatan perubatan pelbagai jenis yang banyak membantu usaha awal petugas barisan hadapan perubatan kita memerangi COVID-19.
“Bagi pihak Yang di-Pertuan Agong, kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan sejawat, Yang Mulia Putera Abdullah Bin Zayed Al-Nahyan dan Kerajaan UAE.
“Keprihatinan yang sangat dihargai Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, Hishammuddin mengumumkan Malaysia menerima sejumlah bantuan dan sumbangan hampir tiga juta dos vaksin COVID-19 dan peralatan perubatan daripada beberapa negara sejak Jun lalu.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan vaksin COVID-19 diterima Malaysia daripada beberapa negara kepada hampir empat juta dos.
Antaranya oleh Arab Saudi menerusi Pusat Tindakan Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief), yang menyumbang satu juta dos vaksin jenis AstraZeneca dengan nilai keseluruhan AS$5 juta (RM21.15 juta) serta 4.5 juta peralatan perubatan.
Selain itu, United Kingdom (UK) turut memberi sumbangan 415,000 dos vaksin AstraZeneca kepada Malaysia, sementara satu juta dos vaksin Pfizer daripada Amerika Syarikat dan 500,000 dos vaksin Sinovac daripada China.
Dalam pada itu, Malaysia turut menerima sumbangan alat bantuan pernafasan dan kit ujian PCR COVID-19 dari Brunei bernilai RM1.7 juta.- Edisi 9