30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Majikan perlu bertanggungjawab ke atas pekerja, kawal penularan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Semua majikan perlu bertanggungjawab dalam memastikan semua pekerja yang bergejala menjalani ujian saringan COVID-19, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong.

Beliau berkata, menerusi libat urus yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama-sama Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM), perkara itu sememangnya diberi penekanan utama dalam bersama mengawal penularan wabak COVID-19 di tempat kerja.

“Kami juga menggalakkan majikan untuk memberi akses klinik panel kepada pekerja masing-masing kerana kadang kala, ada sesetengah pekerja tidak mempunyai kemudahan ini dan perlu membayar untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19.

“Berikutan itu, mereka mungkin lewat mendapatkan rawatan. Jika boleh, majikan bekerjasama dengan pekerja. Apabila mereka bergejala, kakitangan terus menjalani ujian pengesanan, terutama kini sudah ada kit ujian menggunakan air liur,” katanya pada Sidang Media Khas Kementerian Kesihatan Malaysia di sini.

Dr Chee Kheong berkata, sekiranya pekerja itu didapati tidak sihat, mereka seharusnya dirujuk untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

Pada masa sama, beliau berkata, apabila pekerja didapati positif, majikan perlu menyediakan tempat untuk mereka diasingkan, manakala semua kontak rapat mereka juga perlu melalui proses pengasingan.

Katanya, apabila sekumpulan pekerja diasingkan, majikan perlu memastikan makan minum dan kebajikan mereka terjaga, berikutan tidak dapat keluar daripada kuarantin.

“Perkara itu dipersetujui majikan yang terbabit dalam libat urus berkenaan. Pada masa sama, majikan perlu juga memastikan semua pekerja mendapatkan vaksin secepat mungkin,”katanya.

Sementara itu, Dr Chong berkata, pihaknya juga menasihati semua majikan mendaftar dengan program ‘Safe at Work’ di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), berikutan ia mempunyai cara untuk mewujudkan gelembung selamat, bagi pekerja masing-masing di kilang atau premis tempat kerja.

“Jika mereka lakukan itu, dan berlaku jangkitan di kilang atau tempat kerja, bilangan pekerja dijangkiti kurang. Apabila kes dikesan lebih awal, kes akan kurang, tetapi jika ia lambat dikesan, bilangannya akan tinggi.

“Sekiranya semua itu dilakukan, kes akan berkurangan walaupun ada jangkitan. Mereka hanya perlu menutup premis untuk pembersihan dan sanitasi,” katanya.- Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan