Monday, July 20, 2026

Gangguan seksual: Tribunal arah majikan buat pernyataan maaf

Mesti Baca

SEORANG majikan lelaki diperintahkan agar membuat pernyataan permohonan maaf terhadap pekerja wanitanya aras kesalahan melakukan gangguan seksual secara fizikal.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Putrajaya hari ini sepertimana yang dipohon oleh pengadu.

“Setelah mempertimbangkan keterangan dan bukti yang dikemukakan, TAGS
mendapati bahawa pengadu telah berjaya membuktikan bahawa responden telah melakukan gangguan seksual ke atasnya.

“Justeru, TAGS memerintahkan responden untuk membuat pernyataan permohonan maaf sebagaimana yang telah dipohon oleh pengadu,” kata KPWKM dalam satu kenyataan hari ini.

Ini merupakan perintah pertama yang dikeluarkan oleh TAGS melibatkan gangguan seksual fizikal oleh majikan terhadap pekerjanya.

Kenyataan itu berkata, perintah tersebut dikeluarkan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pertama pendengaran iaitu pada 23 Mei lalu, selaras dengan peruntukan di bawah seksyen 19(1) Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840].

Katanya, TAGS menyediakan satu saluran alternatif kepada mahkamah sivil untuk mengendalikan aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dan kos yang minimum.

Sehubungan itu, mangsa gangguan seksual diseru untuk tampil membuat aduan di kaunter TAGS di KPWKM Putrajaya atau menghubungi Talian Kasih 15999 untuk sebarang pertanyaan.

KPWKM menguatkuasakan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) secara berperingkat bermula Mac tahun lallu.

Akta tersebut membabitkan seksyen 1 (tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa), Seksyen 2 (Tafsiran), Seksyen 24 (Pentadbir), Seksyen 25 (Fungsi dan kuasa pentadbir) dan Seksyen 26 (Kuasa untuk membuat peraturan-peraturan).

Akta 840 itu sudah diluluskan di Dewan Rakyat pada 20 Julai 2022 dan Dewan Negara pada 11 Ogos 2022 dan sudah diwartakan sebagai akta baharu pada 18 Oktober 2022 selepas menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan