TIGA pelajar cemerlang dalam peperiksan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu menerima bantuan daripada Yayasan Keluarga Malaysia (YKM).
Mereka terdiri daripada Haziq Safwan Shahril yang memperoleh 7A dalam peperiksaan tersebut serta Nur Alieya Nafisya Muhamad Farid dan Intan Elya Rumaisa Zainudin yang mencatatkan keputusan 6A.
Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkunjung ke kediaman Haziq Safwan di Kajang, Selangor semalam bagi menyampaikan Hadiah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 itu.
Pelajar tersebut akan menyambung pelajaran di German-Malaysian Institute (GMI) dalam pengajian Diploma Kejuruteraan Perisian.
Pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang itu menerima wang tunai sebanyak RM1,000.
“Saya berharap bantuan yang diberikan kepada Haziq akan dimanfaatkan sebaiknya sewaktu menyambung pelajaran kelak.
“Pendidikan merupakan agenda utama pihak YKM terhadap pemberian bantuan ini kerana pendidikan mampu mengubah nasib sesebuah keluarga itu,” kata Ismail Sabri.
Beliau berkata, Program Hadiah Kecemerlangan SPM 2023 ini akan dikreditkan bersama-sama dengan Bantuan Kasih YKM Fasa 2 kepada para penerima yang layak pada 19 Julai ini.
Program Hadiah Kecemerlangan SPM 2023 dan Bantuan Kasih YKM Fasa 2 ini melibatkan 515 penerima dengan implikasi kewangan hampir RM300,000.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, bantuan bagi Fasa 2 adalah bukti komitmen berterusan pihak YKM dalam membela nasib anak-anak yatim dan yatim piatu COVID-19.
Sebelum ini, pada 20 Mac 2024, YKM telah menyalurkan sebanyak RM515,000 bagi Fasa 1 Bantuan Kasih YKM.
“Bantuan Kasih YKM merupakan salah satu inisiatif yang diberikan secara tahunan dan dikreditkan kepada akaun penerima yang layak kepada tiga fasa iaitu pada Mac, Julai dan November,” katanya.
Sejak ditubuhkan, pelbagai jenis bantuan telah diberikan kepada mereka yang layak khususnya anak-anak daripada keluarga yang berpendapatan rendah atau B40 yang kehilangan ibu, bapa dan ibu bapa akibat Pandemik COVID-19, kemalangan dan bencana alam.
Pada tahun ini, kata beliau, YKM telah memperuntukkan sebanyak RM1.3 juta kepada lebih 700 anak-anak yatim dan yatim piatu COVID-19 menerusi inisiatif Bantuan Kasih YKM, Bantuan Persekolahan dan Bantuan Menara Gading. – Edisi 9

