KUALA LUMPUR – Seramai 31 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mengesahkan akan kekal bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga keabsahannya ditentukan dalam sidang Parlimen September ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, ahli-ahli Parlimen terbabit akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong agar isu kerajaan hari ini dibawa ke Parlimen untuk ditentukan keabsahannya.
Justeru, beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, tidak wujud istilah derhaka dalam kalangan ahli-ahli Parlimen terbabit kerana tindakan yang dilakukan itu sememangnya mengikut titah perintah Seri Paduka Baginda.
“Kami ahli-ahli Parlimen yang setia kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong akan patuh kepada titah baginda iaitu apapun perkara yang hendak diselesaikan berkaitan kerajaan perlu dilakukan di Parlimen.
“Kami berpandangan perkara-perkara lain adalah di luar daripada yang diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda, termasuk melakukan tindakan yang boleh meruntuhkan kerajaan sebelum sidang Parlimen.
“Kita akan terus kekal dengan kerajaan hari ini sehingga keabsahan kerajaan ditentukan di Parlimen. Kita akan membuat keputusan apabila sampai masanya,” kata beliau dalam sidang media khas di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong; Menteri Sumber Manusia, Datuk M. Saravanan dan 17 ahli Parlimen BN yang lain.

Ismail Sabri berkata, sebagai ahli UMNO dan setia kepada parti itu mereka berpegang kepada objektif penubuhan parti serta tugas wakil rakyat iaitu untuk memberi khidmat kepada rakyat.
Tegasnya, menarik diri secara serta-merta, menumbangkan kerajaan dan lari daripada tanggungjawab yang diamanahkan rakyat adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Jelas beliau, ahli-ahli Parlimen terbabit terutamanya yang memegang jawatan menteri, diberi tanggungjawab di barisan hadapan untuk menyelesaikan isu COVID-19 dan ekonomi rakyat yang kini terjejas dan terkesan akibat pandemik tersebut.
“Kita (tidak mahu) mengatakan bahwa kita tidak bertanggungjawab kepada rakyat sekiranya kita meninggalkan kerajaan hari ini dengan tergesa-gesa seperti diharapkan oleh parti,” katanya.
Rabu lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan akan menyerahkan kepada ahli-ahli Parlimen untuk menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri melalui undi percaya dalam sidang Dewan Rakyat, September ini.
Beliau berkata, cadangan berhubung undi percaya itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menghadap Seri Paduka pagi itu.
Muhyiddin juga sedar bahawa kedudukannya sebagai Perdana Menteri seringkali dipersoalkan.
“Maka, saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.
“Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September,” katanya.
Sebelum itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu telah menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Zahid mendakwa mereka sudah mempunyi cukup akuan daripada ahli-ahli Parlimen UMNO untuk membolehkan kerajaan PN hilang majoriti dan Muhyiddin sebagai ketua kerajaan terbatal. – Edisi 9