32.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Kerajaan baharu dicadang hadkan kementerian, tumpu pandemik

Mesti Baca

CYBERJAYA – Kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dicadang mengehadkan jumlah kementerian yang bakal ditubuhkan dengan memberi tumpuan untuk mengurus pandemik COVID-19, ekonomi dan kebajikan negara.

Pengerusi Gerakan Jihad Rakyat, Majlis Perundingan Melayu (MPM), Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkata, kerajaan baharu yang ditubuhkan itu hendaklah berhemat dalam perbelanjaan negara, terutama dalam keadaan ekonomi dilanda krisis besar sebagai akibat wabak COVID-19.

“Antara langkah berhemat termasuklah mengehadkan jumlah kementerian yang ditubuhkan atau menyatukan mana-mana bidang yang berkaitan dalam sebuah kementerian sahaja.

“Nisbah menteri yang dilantik hendaklah seimbang antara pemimpin politik dengan golongan profesional untuk menjamin kecekapan dan keberkesanan kepemimpinan negara,” katanya dalam kenyataan.

Awang berkata, keutamaan perbelanjaan negara hendaklah ditumpukan kepada usaha mengatasi wabak COVID-19 dan kesannya dalam bidang kesihatan, ekonomi, sosial dan pendidikan.

Manakala inisiatif dan pelan pemulihan yang telah dirancang oleh kerajaan dahulu perlu dilaksanakan dengan mengurangkan kerenah birokrasi dan tidak terjejas oleh ketirisan, salah guna kuasa dan ketidakadilan kerana faktor seperti kelainan fahaman politik.

Nada serupa disuarakan Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Prof Tan Sri Dr Nordian Kardi yang mencadangkan beberapa kementerian yang mempunyai sinergi digabungkan di bawah satu bumbung.

Antaranya ialah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), katanya, boleh digabungkan dengan Kementerian Pendidikan manakala Kementerian Tenaga disatukan dengan Kementerian Pertanian.

Advertisements

Menurusi hantaran di Facebook, beliau turut mencadangkan agar Kementerian Pelancongan disatukan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Gabung KPT dengan Kementerian Pendidikan. Kementerian Tenaga gabung dengan Kementerian Pertanian. Kementerian Pelancongan dengan MITI. Ada sinergi,” katanya.

Ismail Sabri akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Kesembilan hari ini, bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melepaskan jawatannya 16 Ogos lalu.

Isu barisan Kabinet menjadi tumpuan rakyat sejak Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk melantik Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri yang baharu — Perdana Menteri ketiga dalam tempoh empat tahun.

Sebelum ini Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar Perdana Menteri yang baharu hanya perlu menubuhkan sebuah Kabinet kecil seakan-akan ‘Kabinet Perang.’

Ia terdiri daripada kira-kira 10 anggota Jemaah Menteri dengan memberi fokus kepada isu kesihatan, ekonomi dan kebajikan rakyat sahaja.

Sebelum ini, Muyiddin telah melantik 32 menteri Kabinet untuk mengetuai 32 kementerian, serta beberapa lagi penasihat bertaraf menteri. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tak boleh tolak permohonan pelanggan tidak fasih bahasa Melayu

PARA pegawai Jabatan Imigresen Malaysia tidak dibenarkan menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan. Bagaimanapun, menurut Ketua...

Lagi Artikel Berkaitan