27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

GPS bukan lalang, konsisten sokong kerajaan

Mesti Baca

KUCHING – Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak bersikap seperti ‘lalang’ dan konsisten dalam memberi sokongan kepada blok yang membentuk kerajaan Persekutuan.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sokongan yang diberikan empat parti tempatan Sarawak kepada kerajaan sedia ada adalah bagi memastikan kestabilan politik dalam meneruskan usaha menangani COVID-19 serta memulihkan ekonomi negara dengan lancar.

Pada masa yang sama, menurut beliau, sebarang keputusan GPS dalam isu politik yang sedang berlaku di Semenanjung ketika ini pasti akan tertumpu kepada kesejahteraan rakyat, kestabilan politik dan ekonomi negara.

“Saya tidak boleh bercakap bagi pihak GPS, tetapi sebelum ini pun kita tahu, GPS memberi sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengekalkan kestabilan politik dan saya yakin pucuk pimpinan tertinggi GPS akan kekal dengan prinsip itu.

“Kerajaan GPS yang mentadbir Sarawak bukannya lalang yang condong ke sana sini,” katanya seperti dipetik daripada laporan BH Online.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri berkata demikian selepas merasmikan Sambutan 130 Tahun Muzium Sarawak, di sini, hari ini.

Beliau menambah, dalam senario sekarang GPS perlu meneliti apa yang terbaik untuk negara.

“Kerajaan GPS harus mengkaji dulu adakah apa yang berlaku sekarang baik atau tidak kepada negara. Jika ia baik, maka kita harus ke arah itu,” jelasnya.

Abdul Karim turut berharap agar tiada pemimpin parti politik yang cuba mengambil kesempatan untuk mengheret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam kemelut politik sekarang.

“Janganlah heret Yang di-Pertuan Agong dalam polemik politik negara. Biarkan Seri Paduka menjadi ketua Perlembagaan.

“Seri Paduka mempunyai kredibiliti yang tinggi dan cubaan mengheret baginda dalam kemelut politik adalah perbuatan yang sangat tidak sihat dan menjejaskan keharmonian negara,” katanya.

GPS merupakan antara komponen politik yang teguh menyokong PN sejak ia membentuk kerajaan selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang dengan sendirinya selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Terkini

Warga Israel bersama 6 pucuk senjata api ditahan

SEORANG lelaki warga Israel ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang,...

Lagi Artikel Berkaitan