27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

19,819 kes baharu harian tertinggi, 257 lagi kematian

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Negara hari ini memecah rekod kes baharu harian COVID-19 sekaligus merupakan angka tertinggi dilaporkan dengan sebanyak 19,819 kes dan semakin menghampiri angka 20,000.

Dengan pertambahan kes baharu harian tersebut menjadikan jumlah kes positif COVID-19 sebanyak 1,183,110 kes sejak pandemik melanda negara tahun lepas.

Dalam pada itu, kes kematian COVID-19 turut merekodkan angka tertinggi dengan sebanyak 257 lagi kes kematian dilaporkan termasuk membabitkan seramai 31 warga asing, menjadikan jumlah kes kematian terkini sebanyak 9,855 kes.

Kes kematian harian melaporkan angka tertinggi melepasi 200 pada Isnin lalu, iaitu sebanyak 219 kes selain 207 kes yang direkodkan pada 26 dan 27 Julai. 

Kesemua kes kematian yang dilaporkan melibatkan 137 lelaki dan 120 wanita manakala, 21 kes meninggal dunia di luar hospital atau brought-in-dead (BID) serta 206 kes ada sejarah penyakit.  

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 375 kes (1.9 peratus) daripada kes baharu harian hari ini adalah kategori tiga, empat dan lima.

“Manakala, 19,444 kes (98.1 peratus) daripada kategori satu dan dua.  

“Ini berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosis Covid-19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga berubah status kesihatan sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

“Secara keseluruhan, hanya 3,592 kes (18.1 peratus) daripada jumlah kes tersebut mempunyai sejarah imunisasi Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.  

Beliau berkata, sebanyak 87 kes kategori lima (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan) direkodkan semalam dengan 79 kes atau 90.8 peratus tiada sejarah vaksinasi. 

“Selain itu, 108 kes kategori empat (radang paru-pari dan memerlukan bantuan oksigen) dengan 98 kes atau 90.7 peratus tiada sejarah vaksinasi.  Kategori tiga (radang paru-paru) merekodkan 180 kes dengan 119 kes atau 66.1 peratus tiada sejarah vaksinasi. 

“Sebanyak 9,443 kes kategori dua (bergejala ringan) dengan 6,772 kes atau 71.7 peratus tiada sejarah vaksinasi manakala, 10,001 kes kategori satu (tidak bergejala) dengan 9,159 kes atau 91.6 peratus tiada sejarah vaksinasi,” katanya. 

Terdahulu dalam perkongsian di Facebook, beliau berkata, Selangor terus merekodkan angka kes baharu harian tertinggi iaitu sebanyak 8,377 kes berbanding semalam 5,836 kes.

“Kuala Lumpur pula merekodkan kes melepasi angka 2,000 dengan 2,467 kes diikuti, Kedah (1,371 kes), Johor (1,162 kes) dan Kelantan (1,003 kes).

“Seterusnya, Sabah (949 kes), Pulau Pinang (867 kes), Negeri Sembilan (800 kes), Perak (662 kes), Pahang (558 kes), Sarawak (552 kes), Melaka (508 kes) dan Terengganu (481 kes).

“Putrajaya (46 kes), Labuan (lima kes) dan Perlis (11 kes),” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 35 kluster baharu dikenal pasti terdiri daripada 20 kluster komuniti, 14 kluster tempat kerja dan satu kluster keagamaan. 

Dalam pada itu, menurutnya, lagi, kes sembuh harian pula mencatatkan sebanyak 12,704 kes, menjadikan jumlah kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 962,733 kes.

Berhubung kadar kebolehjangkitan pula, beliau berkata, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.07 dengan negeri mencatatkan nilai RT tertinggi adalah Kelantan (nilai RT 1.31), diikuti oleh Terengganu (nilai RT 1.27) dan Perak (nilai RT 1.24).  

“Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Negeri Sembilan, Perlis dan Labuan,”katanya.- Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan