CYBERJAYA – Sebanyak 47 lagi kes varian baharu virus SARS-CoV-2 melibatkan Variant of Concern (VOC) dikesan melalui kajian berterusan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sehingga hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 46 kes varian Delta (B.1.617.2) dan satu kes varian Beta (B.1.351).
“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 667 kes.
“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 647 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Secara keseluruhannya, Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini bagi VOC terdapat 209 kes varian Beta, 424 kes varian Delta dan 14 kes varian Alpha.
“Manakala, bagi VOI terdiri daripada 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta,” katanya.
Katanya lagi, berdasarkan lampiran yang disertakan, 47 kes varian baharu itu melibatkan di Selangor (13 kes), Kedah (tujuh kes), Johor dan Terengganu (masing-masing lima kes) dan Putrajaya (empat kes).
“Seterusnya, Perak dan Kelantan (masing-masing tiga kes), Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur (masing-masing dua kes) serta Perlis, Pahang dan Sabah (masing-masing satu kes). -Edisi 9