27.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, March 30, 2024

Semua individu di Lembah Klang dapat vaksin menjelang 1 Ogos

Mesti Baca

CYBERJAYA – Semua individu di Lembah Klang akan mendapat suntikan vaksin sekurang-kurangnya satu dos menjelang 1 Ogos ini dan dos kedua menjelang 31 Ogos.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ini kerana vaksinasi kunci utama dalam memerangi pandemik tersebut.

“Jika kita lihat melalui graf vaksinasi di Labuan, kita dapat lihat bagaimana vaksinasi mampu membantu pengurangan kes Covid-19.

“Oleh yang demikian, perancangan semasa kerajaan adalah untuk memberi fokus vaksinasi kepada Lembah Klang dan semestinya kejayaan di Labuan mampu tercapai di Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan hasil perbincangan pasukan petugas khas bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Dr Adham berkata, selain itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan mewujudkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) maya bagi menguruskan kes-kes positif yang tidak bergejala atau bergejala ringan.

Beliau berkata, melalui kaedah ini pemantauan kes-kes tersebut dapat diadakan secara maya tanpa perlu menghadiri CAC secara fizikal.

“Home surveillance order (HSO) digital akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera atau lain-lain aplikasi dan ia adalah sah dari segi undang-undang,” katanya.

Pada masa yang sama, kerajaan akan meningkatkan kapasiti katil di hospital-hospital sedia ada di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Katanya, buat masa ini, 40 peratus pesakit yang dimasukkan ke hospital mempunyai gejala serius yang memerlukan sama ada bantuan oksigen dan alat pernafasan.

Tambah beliau, sebanyak 30 katil tambahan untuk ICU akan diterima tak lama lagi manakala bagi rawatan pesakit selain Covid-19, kerajaan akan menggunakan hospital swasta untuk merawatnya.

“Kerajaan telah bersetuju agar inisiatif penyumberan luar ini tidak terhad kepada prosedur elektif sahaja atau planned surgery, tetapi boleh juga merangkumi rawatan pesakit yang perlu rawatan segera atau acute khususnya dari jabatan kecemasandan trauma.

“Saya berharap agar, hospital swasta akan terus membantu kerajaan dalam memberi rawatan kepada pesakit-pesakit kita,” katanya.

Dr Adham berkata, kerajaan juga akan meningkatkan kapasiti katil rawatan rapi sementara atau re-purpose ICU di hospital-hospital berkenaan agar pesakit yang memerlukan rawatan rapi dan alat bantuan pernafasan dapat diberi perhatian.

Katanya, ini termasuk memastikan kelengkapan peralatan dan bekalan mencukupi seperti alat ventilator, patients monitor, mesin dialisis, ubat-ubatan, set kelengkapan diri (PPE) dan lain-lain.

Selain itu, KKM juga akan menggerakkan 3,313 petugas tetap dan kontrak untuk aktiviti pencegahan dan kawalan
Covid-19.

Katanya, ini termasuk mengambil anggota kesihatan yang telah bersara untuk bersama-sama KKM dalam pengurusan
Covid-19.

Dr Adham berkata, sehingga hari ini seramai 1,269 pengamal perubatan swasta telah pun bersama-sama dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). – Edisi 9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan