28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Bersabarlah, kita menuju jalan ‘kemenangan’

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Oleh AZIZI SALIM

KALAU dilihat daripada angka, kita boleh dikatakan antara negara yang ‘gagal’ mengawal penularan wabak Covid-19, lebih-lebih lagi beberapa hari ini kes harian direkodkan mencecah lima angka.

Bayangkan semalam sahaja sebanyak 13,215 kes direkodkan berbanding lebih 11,000 kes sebelum ini dan di bawah 10,000 beberapa hari lepas walaupun kita masih berada dalam fasa 1 Kawalan Pergerakan dan darurat.

Melihat angka ini tentunya ia amat menakutkan lebih-lebih lagi bagi penduduk Lembah Klang apabila di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan sahaja menyumbang 80 peratus kes.

Namun, jika dilihat daripada punca peningkatan mendadak kes ini, ia ada kaitan dengan langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjalankan ujian saringan Covid-19 secara besar-besar, termasuk di kilang-kilang.

KKM boleh melakukan ujian saringan sebegini setelah beberapa daerah dan mukim dan Selangor dan Kuala Lumpur diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Berdasarkan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kelmarin sahaja sebanyak 135,000 saringan dibuat sehingga KKM dapat mengesan lebih 60 peratus pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 dalam kalangan komuniti.

Kategori ini adalah dianggap paling ringan dalam kes Covid-19 yang mana mereka yang dijangkiti wabak ini tidak mempunyai sebarang gejala, atau hanya sekadar gejala ringan.

Setahun lalu, ketika pandemik Covid-19 baru melanda, ada pihak-pihak yang mencadangkan kepada kerajaan agar melaksanakan saringan secara menyeluruh, namun ketika itu KKM menganggapnya tidak perlu.

Saringan hanya diberikan kepada mereka yang bergejala di samping mengarahkan rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Malah ketika selesai Pilihan Raya Negeri Sabah pada Oktober tahun lalu, ada pihak-pihak tertentu mencadangkan kerajaan melakukan saringan kepada semua yang pulang dari Sabah, namun tidak dilakukan.

Cadangan supaya mereka yang pulang dari Sabah agar diwajibkan kuarantin selama tujuh hingga 14 hari juga tidak diendah sebaliknya hanya membenarkan kuarantin selama tiga hari.

Akibatnya, sejak itu kes-kes Covid-19 telah melonjak sehingga ribuan kes, walhal sebelum ini Malaysia telah dipuji oleh seluruh dunia kerana kejayaan mengekang wabak tersebut.

Berbalik kes hari ini, walaupun jumlah kes mencapai belasan ribu sehari, tetapi pada masa yang sama, program vaksinasi kita juga mencatatkan peningkatan yang begitu pantas, malah antara terpantas di dunia.

Ini merupakan berita baik kerana hanya melalui vaksinasilah kita akan dapat keluar daripada pandemik ini sepertimana yang dinikmati oleh Singapura dan Turki apabila mereka telah mencapai imuniti kelompok.

Melalui vaksinlah, kita akan dapat keluar daripada pandemik kepada endemik sepertimana penyakit-penyakit wabak lain seperti taun dan denggi.

Rekod di beberapa negara Eropah dan Amerika Syarikat menunjukkan jumlah mereka yang dijangkiti Covid-19 masih tinggi namun kerana majoriti mereka telah diberi vaksin, maka jumlah yang dimasukkan ke hospital kerana gejala teruk mahupun kematian adalah sangat kecil.

Advertisements

Sebab itulah pakar-pakar kesihatan dan KKM sendiri selalu tekankan bahawa hanya dengan vaksin kita akan dapat kembalikan kehidupan normal kita sebelum ini.

Kita tentunya cemburu melihat ribuan peminat bola sepak di Eropah boleh berkumpul dalam satu stadium untuk menyaksikan EURO 2020.

Kita juga tentunya cemburu melihat masjid-masjid di Turki sudah dipenuhi dengan jemaah dan tidak pernah tutup sepertimana dimaklum seorang warga Malaysia yang berada di sana.

Penulis yakin semua itu akan dapat kita kecapi dalam tempoh sebulan dua lagi apabila kita juga bakal mencapai imuniti kelompok.

Dengan jumlah pemberian vaksin mencapai 430,000 sehari di seluruh negara, manakala kebanyakan negeri sudah menunjukkan penurunan kes dengan tiga dan dua angka, ini menunjukkan langkah yang diambil kerajaan ada benarnya.

Tidak dinafikan kita agak terlambat melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) iaitu bermula April lalu, tetapi kita bergerak pantas, jauh lebih pantas dari beberapa negara jiran.

Isu bekalan vaksin, proses pemberian vaksin dan beberapa isu lain berjaya diselesaikan walaupun penulis tidak nafikan sedikit terlambat.

Namun segalanya dapat diatasi dengan segera dalam tempoh kurang dari tiga bulan. Malah PICK telah dilaksanakan dengan pelbagai kaedah daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega sehinggalah program suntikan rumah ke rumah.

Benar, tahun lalu kita boleh anggap kerajaan melakukan kesilapan kerana merasakan kita berjaya mengawal Covid-19 sepertimana kejayaan yang dikecapi pada pertengahan tahun lalu.

Namun, Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan kerajaan mulai bulan ini menampakkan petanda baik dari segi gerakan vaksinasi dan saringan kelompok.

Mungkin dari segi angka kita belum menang, tetapi menerusi gerak kerja, usaha gigih pelbagai pihak, penulis yakin dan percaya angka ini dapat diturunkan dalam tempoh seminggu dua lagi.

Bukan sebab penulis seorang peramal atau jauh sekali membodek kerajaan, tetapi penulis dapat merasakan apabila PICK yang begitu pantas dilaksanakan, ditambah dengan saringan yang dilakukan termasuk di kilang-kilang yang menjadi penyumbang kes utama di Lembah Klang.

Langkah kerajaan membendung usaha membuka ‘pintu belakang’ juga diharap dapat menghalang pihak-pihak yang mementingkan keuntungan menjalankan perniagaan walaupun dikategorikan tidak perlu.

Mempercepatkan vaksinasi di kilang-kilang dan pekerja industri akan menambahkan lagi keyakinan penulis bahawa kita sedang menunju kemenangan, insya-Allah.

Berhentilah merungut tetapi sama-samalah membantu menangani Covid-19 dengan duduk di rumah jika tiada keperluan, patuh SOP jika berada di luar rumah.

Jika mempunyai kontak rapat dengan mereka yang positif atau sendiri mempunyai gejala, cepat-cepatlah membuat pemeriksaan. Jangan fikir kita kebal selagi kita belum disuntik sekurang-kurang satu dos vaksin.

Elak pulang kampung atau rentas negeri untuk sementara. Kita boleh capai kemenangan jika kita sama-sama patuh dan boleh mengawal diri.

  • Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan