33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Selangor FC hilang kapten, Brendan hidap kanser testis

Mesti Baca

SELANGOR FC (SFC) kehilangan khidmat Brendan Gan bagi mengharungi persaingan Liga Super apabila kapten pasukan itu disahkan menghidap kanser testis.

Pemain tengah Harimau Malaya itu terpaksa berehat panjang setelah menjalani pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan tersebut dan kini dalam pemantauan pakar perubatan.

“Dengan rasa berat hati, kami di SFC ingin memaklumkan tentang keadaan Ketua Pasukan Selangor FC.

“Untuk makluman, Brendan telah didapati menghidap kanser testis dan telah menjalani pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan tersebut dan kini sedang dalam pemantauan pakar perubatan,” kata kenyataan pasukan menerusi twitternya hari ini.

Kata SFC, walaupun diuji, pemain kacukan Malaysia-Australia itu tetap optimis dan kuat mengharunginya.

“Semoga kita semua dapat terus mendoakan kesihatan dan memberikan privasi kepada beliau sepanjang tempoh pemulihannya,” katanya.

Brendan tekad untuk kembali pulih secepat mungkin dan tidak sabar untuk kembali semula bersama pasukan.

“Seluruh warga SFC mendoakan agar Brendan cepat sembuh dan memohon semua penyokong untuk mendoakan yang terbaik buat beliau,” katanya.

Selain dianggap pemain utama Selangor, bekas pemain Kelantan dan Perak itu juga adalah tonggak penting skuad Harimau Malaya yang bakal menghadapi dua kejohanan besar pada hujung musim ini dan awal tahun depan.

Pasukan negara dijadual beraksi di Piala AFF Disember ini, sebelum mengharungi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 Februari depan. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan