36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Prasarana umum pelantikan baharu pengurusan tertinggi

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengumumkan pucuk pimpinan syarikat yang baharu dengan pelantikan Tan Sri Jamaludin Ibrahim sebagai Pengerusi Kumpulan dan Mohd Azharuddin Mat Sah sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.

Kedua-dua pelantikan itu berkuat kuasa serentak pada 15 Julai 2021.

“Lembaga Pengarah dan barisan kepimpinan kanan Kumpulan Prasarana mengalu-alukan pelantikan Jamaludin dan Mohd Azharuddin.

“Pengalaman luas yang dimiliki oleh kedua-dua tokoh dalam menerajui syarikat-syarikat besar dari segi operasi dan pentadbiran, serta penglibatan mereka di dalam merangka polisi dan inisiatif bagi sektor awam adalah satu kelebihan besar buat Prasarana dalam meneruskan agendanya untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam khususnya dalam berhadapan dengan cabaran penularan pandemik COVID-19,” kata Prasarana dalam kenyataan media, hari ini.

Jamaludin merupakan Presiden and Ketua Eksekutif Kumpulan bagi Axiata Group Berhad (Axiata) sebelum persaraannya di akhir tahun 2020.

Dikenali sebagai tulang belakang yang mengemudi transformasi Axiata daripada sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada gergasi telekomunikasi yang amat disegani yang beroperasi di 11 buah negara ASEAN dan Asia Selatan, Jamaludin membawa bersama beliau pengalaman kerja selama lebih 40 tahun;
termasuk 16 tahun dalam bidang teknologi maklumat, 23 tahun dalam telekomunikasi dan berbagai bidang lain dalam sektor awam dan swasta khususnya pendidikan.

Terkini pada tahun 2020, Jamaludin dilantik oleh Perdana Menteri sebagai Ahli Majlis Tindakan Ekonomi yang diberi mandat untuk merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan, pengagihan kekayaan yang saksama, dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau juga merupakan Ahli Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang berfungsi sebagai tadbir urus tertinggi dalam menetapkan dasar, pelaksanaan serta pemantauan strategi dan inisiatif ekonomi digital dan 4IR di negara ini.

“Warga kerja Prasarana menyambut baik pelantikan Tan Sri Jamaludin untuk mengepalai Lembaga Pengarah sebagai Pengerusi Kumpulan selaras dengan aspirasi kerajaan untuk melihat Prasarana lebih berdikari dengan meningkatkan hasil pendapatan termasuk bagi sektor bukan tambang sekali gus berkembang maju menjadi entiti korporat milik kerajaan yang berjaya,” jelas Prasarana.

Pelantikan Mohd Azharuddin sebagai Presiden and Ketua Pegawai Kumpulan Prasarana pula akan memberikan sinergi dan perspektif dari sudut pengangkutan awam, selari dengan pengalaman beliau dalam industri pengangkutan awam darat dan udara.

Terdahulu, Mohd Azharuddin berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Transformasi, Malaysia Airlines Berhad dari 2019 hingga 2021, dan bertanggungjawab bagi porfolio merangkumi pelan transformasi jangka panjang dan bahagian teknologi maklumat dan digital syarikat penerbangan tersebut.

Beliau juga pernah bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) antara 2015 dan 2018, dan berkhidmat dengan agensi transformasi negara, PEMANDU sebagai Pengarah Bahagian Pengangkutan Awam Darat Bandar dan Greater KL/Lembah Klang dari 2014 hingga 2015.

Ketika berkhidmat di SPAD, Mohd Azharuddin bertanggungjawab untuk hal-hal berkaitan dengan polisi, perancangan, pembangunan dan penguatkuasaan undang-undang pengangkutan awam darat serta penambahbaikan perkhidmatan rel (LRT, MRT, ERL, monorel dan KTM), teksi, bas serta kenderaan perdagangan.

Mohd Azharuddin ialah graduan Universiti of Kent at Canterbury, United Kingdom dengan ijazah Sarjana Muda Sastera – Ekonomi dan Undang-undang.

Beliau memulakan karier dengan Shell Malaysia dan seterusnya ditempatkan di United Kingdom di Shell International Petroleum Company, London.

Selepas berkhidmat dengan Shell selama 11 tahun, beliau meneruskan kerjaya di Khazanah sebagai Naib Presiden Kanan. Pengarah Sektor Awam di Microsoft Malaysia dan dan Pengarah di PEMANDU.

Dengan gabungan dan kerjasama rapat kedua-dua tokoh ini, Lembaga Pengarah Kumpulan Prasarana yakin misi syarikat untuk melaksanakan transformasi strategik dalam sistem pengangkutan awam negara dan memacu pertumbuhan ekonomi, serta menjadi pemangkin bagi merancakkan semula sektor komersial dan perniagaan dapat direalisasikan.

Dalam bidang operasi masa terdekat ini, tiga fokus utama bagi Jamaludin dan Mohd Azharuddin adalah penambahbaikan dan peningkatan kecekapan operasi secara menyeluruh khususnya dari segi keselamatan dan kepercayaan operasi, meningkatkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan dan pemampanan kewangan. – EDISI 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan