29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pandemik Covid-19: Apa yang realiti, apa yang ilusi?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh DATUK SAIFUL BAHAR ARSHAD

ANGKA Covid-19 masih tinggi. Pada 1 Julai, jumlah kes baharu 6,988. Manakala kes di Selangor sahaja 2,885. Ini merupakan satu angka yang amat tinggi.

Kes baharu di Selangor bersamaan dengan 40 peratus keseluruhan angka kes Covid-19 seluruh negara.

Realitinya, masih banyak kilang dibuka di Selangor. 80 peratus kes baharu datang dari kluster tempat kerja khususnya sektor perkilangan.

Tutup kilang, ekonomi negara parah. Buka kilang, angka masih naik. Ini merupakan satu situasi yang amat sukar kepada kerajaan.

Realiti kedua, rakyat perlu sedar, virus Covid-19 bukannya berjalan ke sana ke sini di tiup oleh angin. Virus Covid-19 dibawa ke sana dan ke sini oleh manusia.

Manusialah pembawa virus ini. Mana mungkin kita katakan kerajaan gagal sekiranya bukan kerajaan membawa kuman ini tetapi pembawanya adalah manusia.

Kerana itu, yang gagal ialah kita. Kita gagal dengar nasihat kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) duduk di rumah sekiranya tidak ada urusan yang penting.

Kita gagal kerana curi-curi ikut jalan tikus melintas sempadan balik ke kampung berhari raya.

Kita gagal apabila pergi makan kenduri durian. Kita gagal apabila menteri pun tidak peka, pergi kenduri kahwin selebriti, itu sudah langgar SOP.

Kita gagal lagi, apabila menteri berkenaan pergi pula majlis menamakan anak selebriti terkenal.

Kita gagal apabila tidak displinkan diri kita. Kita gagal apabila tidak patuh kepada SOP.

Kita juga gagal apabila ada pemimpin politik yang dahulunya kalah pilihan raya umum dan ditolak oleh rakyat kini hari-hari mencari salah dan kritik kerajaan seolah-olah tiada langsung bantuan dari kerajaan kepada rakyat.

Kita gagal apabila tidak bantu kerajaan, bukan untuk jaga kerajaan, tetapi untuk jaga diri kita sendiri. Itu sahaja yang kerajaan minta.

Bila kerajaan beri bantuan, mereka tuntut kerajaan tunduk kepada tuntutan mereka.

Mereka tambah lagi kritik, dengan mengatakan bahawa kerajaan sepatutnya beri lebih daripada itu.

Terkini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah beri peruntukan RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen, kerajaan dan pembangkang.

Rakyat hendak tengok Ahli-ahli Parlimen yang tidak pernah nampak batang hidung semenjak Pilihan Raya Umum Ke-14 masuk ke kampung-kampung hulur bantuan.

Sudah-sudahlah main politik. Kibarkan ‘bendera putih’ sementara. Kita berusaha bersama membendung pandemik ini.

Kita berusaha bersama untuk mencapai imuniti kelompok dengan segera. Kalau tidak dapat 80 peratus. Kita beri sasaran 50 peratus pada bulan Ogos atau September ini.

Buka Parlimen pun tidak akan dapat menyelesaikan masalah pandemik ini.

Terima kasih Tan Sri Muhyiddin Yassin, majoriti daripada kami masih bersama anda!

• Datuk Saiful Bahar Arshad adalah pemerhati isu semasa. Tulisan ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan