25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Realiti berhadapan Covid-19: Situasi yang amat membimbangkan

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh DATUK SAIFUL BAHAR MOHD ARSHAD

DALAM merangka Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kerajaan telah memastikan sektor ekonomi terus beroperasi, demi kesejahteraan rakyat terutamanya golongan mudah terjejas.

Berdasarkan pengalaman pelaksanaan PKP 1.0 dan PKP 2.0 terdahulu dan data terkini, kerajaan mendapati:

  1. Penutupan aktiviti ekonomi lebih memudaratkan kepada golongan rentan dan mudah terjejas.
  2. Jika sektor utama seperti perkilangan tidak beroperasi, ia bakal mendatangkan impak berpanjangan, dan
  3. Risiko penularan Covid-19 pada masa ini lebih menjurus kepada aktiviti sosial.

Pada tahun lepas, semasa PKP 1.0 dilaksanakan, kerajaan ketika itu masih belum mempunyai pengalaman dalam pelaksanaan PKP dan bagaimana cara terbaik untuk menangani pandemik tersebut.

Maka, kerajaan ketika itu mengambil pendekatan melaksanakan PKP secara menyeluruh. Ini menyebabkan sektor ekonomi dan sosial telah ditutup dan menjadi lumpuh.

KENAPA PEMBUKAAN SEKTOR PENIAGAAN AMAT PENTING UNTUK NEGARA?

PKP 1.0 ini, menyebabkan kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari kepada ekonomi negara.

Dan yang paling membimbangkan ialah kadar pengangguran telah naik kepada 5.3 peratus atau 836,000 pada bulan Mei 2020 tersebut. Ini adalah satu kadar tertinggi semenjak krisis kewangan global pada tahun 2009.

Dengan pengalaman yang diperolehi ini, kerajaan telah melaksanakan PKP 2.0 secara lebih bersasar berdasarkan pengalaman dan maklumat yang telah diperolehi. Ini sedikit sebanyak telah mengurangkan kadar pengangguran pada bulan Mac 2021 kepada 4.7 peratus.

Oleh sebab itulah amat penting bagi sektor ekonomi untuk terus beroperasi bagi membolehkan rakyat terus mencari nafkah bukan sahaja untuk diri mereka sendiri tetapi untuk menampung keluarga masing-masing.

Apa yang membimbangkan berdasarkan kaji selidik Jabatan Perangkaan Malaysia dan anggaran Bank Negara Malaysia, pelaksanaan PKP 1.0 telah memberi impak signifikan kepada tahap kewangan serta simpanan rakyat dan syarikat di mana 82 peratus daripada pekerja sektor swasta hanya mempunyai simpanan yang dapat menampung mereka selama dua bulan sahaja dan 76 peratus industri kecil dan sederhana (IKS) ditutup sekiranya PKP dilaksanakan secara menyeluruh.

Di samping itu, lebih sejuta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengeluarkan simpanan Akaun 2 sepenuhnya dan 2.5 juta ahli KWSP juga telah memohon pengeluaran Akaun 1 di bawah i-Sinar.

KWSP umum dividen 2020
Foto: Edisi 9/MOHD NAIM AZIZ

Berdasarkan kaji selidik oleh UNICEF ke atas keluarga di perumahan kos rendah, didapati 63 peratus menghadapi masalah membiayai barangan keperluan.
Keadaannya lebih terjejas jika ketua isi rumah merupakan orang kurang upaya (OKU) di mana peratusannya akan meningkat kepada 68 peratus. Daripada isi rumah yang dikaji, 57 peratus tidak dapat membeli makanan yang mencukupi.

Impak terhadap situasi sebegini akan berpanjangan jika ekonomi tidak beroperasi sepenuhnya.

Isu pengangguran dan kekurangan pendapatan terutamanya antara golongan berpendapatan rendah berpotensi melibatkan kesan jangka panjang kepada generasi muda.

Pihak UNICEF mendapati keluarga tersebut lebih berisiko anak-anak menghadapi kegagalan pertumbuhan fizikal biasa (stunting) dengan implikasi kepada kesihatan pada masa depan.

Di samping tidak dapat menyediakan makanan yang mencukupi dan berzat, keluarga berpendapatan rendah juga berisiko lebih terjejas dari segi aspek pembelajaran terutamanya semasa tempoh pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Atas sebab itu, kerajaan mengambil pendekatan mengutamakan pembukaan aktiviti ekonomi bagi mengurangkan kesusahan kepada rakyat terutamanya yang mudah terjejas.

Walaupun ekonomi negara mengalami kegawatan pada tahun 2020 dengan penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.6 peratus, ekonomi negara bakal mencapai pemulihan pada tahun 2021 dengan unjuran pertumbuhan KDNK dianggarkan di antara 6.0 peratus hingga 7.5 peratus.

Malaysia akan dapat mencapai pemulihan pantas ini dengan meraih peluang daripada pemulihan ekonomi dunia yang diunjurkan oleh pihak Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Pemulihan ekonomi ini dianggarkan akan berkembang pada kadar 6 peratus pada tahun 2021. Ini hanya dapat dicapai jika sektor ekonomi utama, terutamanya sektor bereksport dapat terus beroperasi dan memenuhi perkembangan perdagangan dunia.

Walau bagaimanapun, jika sektor eksport seperti pembuatan tidak dibenarkan beroperasi, ianya berpotensi menyebabkan ‘reshoring’. Fenomena ini adalah di mana pelanggan antarabangsa yang menghadapi gangguan bekalan daripada Malaysia, akan beralih kepada pembekal di negara lain.

Kehilangan pasaran tersebut tidak mudah untuk dikembalikan dan dengan itu, bakal melambatkan pemulihan ekonomi serta menjejaskan penjanaan pekerjaan baharu.

AKTIVITI SOSIAL – KESAN KEPADA PENINGKATAN ANGKA KES BARU COVID

Kebanyakkan rakyat sedia maklum bahawa pada awal tahun 2021, peningkatan kes Covid-19 tertumpu di sektor seperti pengilangan dan pembinaan.

Kerajaan seterusnya telah mengambil langkah memperkenalkan ‘safe@work’ serta mempertingkatkan penguatkuasaan terutamanya atas Akta 446 berhubung piawaian penginapan pekerja.

Ordinan baharu (undang-undang) juga telah diluluskan untuk meningkatkan denda bagi ketidakpatuhan SOP di tempat kerja. Majikan swasta juga telah meningkatkan usaha melaksanakan saringan Covid-19 dalam kalangan pekerjanya.

Manakala, SOP diperketatkan di sektor pengkilangan dan pembinaan supaya langkah ini boleh mengelakkan tindakan penutupan operasi oleh pihak berkuasa.

Hasil daripada usaha yang diambil oleh Kerajaan serta majikan swasta, didapati berdasarkan analisa sistem Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE), risiko pemunculan kluster baharu di tempat kerja seperti kilang telah menurun dan pada masa ini, lebih tertumpu di kawasan aktiviti sosial dan keramaian termasuk kompleks membeli-belah.

ANGKA KES BAHARU COVID-19 TINGGI DI PUSAT BELI-BELAH

Dengan menjelangnya musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kerajaan telah mengambil langkah untuk tidak membenarkan segala aktiviti sosial, pendidikan dan sukan berkumpulan.

Pendekatan ini adalah selaras dengan amalan negara lain termasuk negara jiran kerana sekiranya tidak dibendung, dikuatiri angka kes-kes baharu Covid-19 akan melonjak naik terutama dengan adanya variant-variant baru yang boleh dijangkiti dengan lebih mudah.

Berdasarkan sistem HIDE, pusat beli belah merupakan lokasi paling mudah penyebaran Covid-19. Gambar hiasan/Carian internet

Langkah-langkah memperketatkan kawalan pergerakan termasuk tidak membenarkan rentas daerah dan negeri perlu diambil mengambil kira kenaikan mendadak kes positif dan kapasiti hospital awam dan swasta yang semakin dipenuhi dengan pesakit-pesakit Covid-19.

Setelah mempelajari langkah-langkah yang diambil ketika PKP 1.0, berdasarkan pengalaman tersebut serta dengan adanya bantuan data-data terkini dari sistem HIDE dan lain-lain mengenai pandemik Covid 19 ini, maka kerajaan mengambil pendekatan semua aktiviti-aktiviti sosial seperti perayaan, majlis perkahwinan, kenduri-kendara, majlis doa selamat dan tahlil, sambutan hari jadi serta majlis-majlis rasmi kerajaan dan swasta seperti seminar, persidangan dan mesyuarat secara bersemuka, adalah tidak dibenarkan.

Manakala majlis akad nikah adalah dibenarkan dengan jumlah kehadiran yang kecil mengikut SOP yang ditentukan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri masing-masing. Untuk bukan Islam ditentukan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

KESIMPULANNYA

Kerajaan melaksanakan kawalan atas aktiviti-aktiviti sosial adalah bagi membendung penularan virus Covid-19 yang semakin mengancam keselamatan dan nyawa rakyat.

Namun, kerajaan mengambil pendekatan untuk terus membenarkan aktiviti ekonomi beroperasi, bertujuan mengurangkan kemudaratan kepada rakyat, terutamanya yang mudah terjejas dan menjamin masa depan ekonomi negara.

Kesimpulannya, ketika negara berhadapan dengan keadaan yang amat sukar dan getir ini, kerajaan tidak mempunyai sebarang pilihan. Sektor ekonomi perlu dibenarkan beroperasi untuk kesejahteraan serta mengimbangi antara kehidupan dan mata pencarian rakyat.

BERSAMA MENANGANI PANDEMIK COVID 19.
KITA MESTI MENANG.

  • Penulis adalah penganalisis politik dan isu semasa. Artikel ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestiny mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan