28.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Polis terima laporan petugas media buat liputan tanpa kebenaran

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEPANG – Tindakan petugas media dari pelbagai agensi memasuki kawasan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRCB) Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang tanpa kebenaran Isnin lalu, membawa padah apabila satu laporan polis telah dibuat  pihak pengurusan hospital berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehawan Mohamed berkata, polis telah menerima satu laporan dari pihak pengurusan hospital PKRCB MAEPS 2.0 Serdang semalam, yang melaporkan terdapat lebih kurang enam petugas media dari pelbagai agensi telah masuk ke kawasan hospital tersebut tanpa kebenaran.

“Kawasan tersebut merupakan sebuah dewan yang menempatkan seramai 496 pesakit wanita yang positif COVID- 19,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Md Noor Aehawan berkata, daripada siasatan lanjut mendapati, salah seorang dari petugas media telah membuat secara langsung semasa berada di dalam dewan tersebut.

“Kehadiran petugas media di dewan tersebut antara pukul 11 pagi hingga 1 petang,”katanya.

Beliau berkata, setakat ini, polis telah merakam keterangan seramai 17 orang kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang terdiri daripada doktor dan jururawat yang bertugas semasa kejadian bagi membantu siasatan pihak polis.

Ini bagi mendapatkan pengesahan mengenai kehadiran petugas media di dalam dewan tersebut yang menempatkan para pesakit COVID-19 kategori ringan.

“Sehubungan dengan itu, siasatan akan dijalankan dibawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh kawasan; Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 atas kesalahan ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan membuat rakaman siaran langsung di dalam kawasan yang dilarang sehingga menampakkan pesakit COVID-19 yang sedang dirawat,”katanya.

Jelas beliau, dewan di kawasan PKRCB Maeps Serdang telahpun diwartakan sebagai tempat Pusat Kuarantin dan Rawatan Penyakit Berjangkit (COVID-19) dan orang luar adalah dilarang bagi memasuki kawasan tersebut tanpa kebenaran.

Oleh demikian, menurutnya, polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian dan tindakan yang boleh menyebabkan timbul kegusaran terhadap orang awam.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan segera sebelum siasatan dimajukan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Difahamkan para petugas media terbabit membuat liputan hartal doktor kontrak yang bertugas di PKRCB MAEPS 2.0 berkenaan. – Edisi 9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan