26.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Suhaimi terima anugerah Navy Rugby Hall of Fame AS

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Seorang bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengharumkan nama negara apabila disenaraikan sebagai salah seorang pemain ragbi dalam Navy Rugby Hall of Fame di Amerika Syarikat (AS).

Kepten TLDM (B) Suhaimi Sani bakal menerima anugerah berprestij tersebut di Akademi Tentera Laut AS (USNA) di Annapolis, Maryland pada September ini.

Beliau merupakan rakyat Malaysia yang pertama menerima anugerah tersebut bagi mengiktiraf dan menghargai khidmatnya menaikkan nama sukan ragbi dengan pencapaian membanggakan sepanjang empat tahun bermain untuk pasukan USNA.

Navy Rugby Hall of Fame
Suhaimi Sani dinamakan sebagai salah seorang penerima anugerah Navy Rugby Hall of Fame.

Beliau juga telah bermain untuk pasukan US Armed Forces Combined Services Jr pada 1992 dan 1993 ketika melanjutkan pengajian di akademi tentera laut berprestij di dunia itu.

Suhaimi juga pernah diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai kapten pasukan dalam beberapa perlawanan sepanjang musim tempoh tersebut.

Pasukannya berjaya meraih tempat keempat dalam kejohanan ragbi antara universiti di AS pada musim tersebut dan menduduki tempat kedua bagi kategori pasukan ragbi universiti zon timur AS.

Suhaimi mula aktif dalam sukan ragbi semasa di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi mulai 1984 hingga 1988.

Beliau juga pernah mewakili TLDM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan seterusnya skuad Ragbi 7 Sebelah kebangsaan pada 1994.

Advertisements

Sementara itu, Pengerusi Navy Rugby Hall of Fame, Rob Sinram dalam mesej kepada para penerima anugerah berkata, majlis penyampaian plak akan berlangsung di Stadium Peringatan Tentera Laut dan Kor Marin AS pada 10 September ini dan diikuti dengan majlis makan malam ‘With You’.

Beliau menambah, penerima anugerah juga akan diraikan semasa perlawanan ragbi antara pasukan Tentera Laut dan Tentera Udara AS pada keesokannya.

“Kami berharap untuk bertemu anda semua dalam majlis makan malam ‘With You’ dan perlawanan ragbi keesokannya, kita akan meraikan penerima anugerah dan prestasi cemerlang yang melayakkan mereka disenaraikan dalam Navy Rugby Hall of Fame yang berprestij,” katanya.

Sinram berkata, seramai lapan individu dan dua pasukan dipilih menyertai senarai Navy Rugby Hall of Fame tahun ini.

Majlis penganugerahan tersebut tidak dapat dilaksanakan tahun lalu disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang melanda AS dan seluruh dunia.

Pasukan ragbi lelaki USNA mula ditubuhkan pada 1963 manakala pasukan wanita pula mula beraksi pada 1995.

Sejak kemunculannya, pasukan tersebut menjadi nama yang digeruni dalam arena sukan ragbi universiti di AS. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan