24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

PNBBC mohon Ismail Sabri fokus 3 isu utama segera

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) memohon agar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyegerakan dan memberikan fokus kepada tiga isu utama.

Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, yang pertama, menyegerakan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) termasuk siasatan terhadap isu penjualan aset-aset TH ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Yang kedua, menurut beliau, mempercepatkan proses perbicaraan dan inkues kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Yang ketiga, katanya, menyegerakan penubuhan RCI bagi menyiasat unsur penyelewengan fakta kandungan buku tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

“Ketiga-tiga isu ini penting untuk disegerakan memandangkan ianya berkait rapat dengan kepentingan awam dan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan, kehakiman dan proses keadilan dalam negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Selain itu, tambah Shahidan, PNBBC berharap agar Ismail Sabri dapat membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus memberikan fokus terhadap aspek pentadbiran negara, mempercepatkan proses vaksinasi bagi menjayakan pembentukan imuniti kelompok serta membela keperluan rakyat di setiap kawasan Parlimen dengan mempertingkatkan lagi penyaluran bantuan bakul makanan.

Sehubungan itu, kata beliau, penambahbaikan aspek pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan oleh kerajaan adalah perlu bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat membetulkan persepsi mereka bagi memastikan setiap usaha untuk memulihkan negara dari aspek ekonomi dan sosial dapat terus dilaksanakan dengan jayanya menerusi sokongan semua pihak.

Advertisements

Shahidan memberitahu, PNBBC juga akan memberikan sokongan penuh terhadap pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan Luar Negeri daripada pemimpin UMNO.

“PNBBC juga menyatakan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) memandangkan usaha bagi memastikan negara dan rakyat keluar daripada kelemut pandemik ini adalah merupakan perjuangan bersama.

“Oleh itu, sokongan pelantikan ini oleh Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak perlu dipertikaikan lagi,” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau menyeru agar semua pihak dalam UMNO terus menyokong Ahli-ahli Parlimen agar perkhidmatan terbaik kepada rakyat dapat diberikan dengan penekanan terhadap usaha meningkatkan vaksinasi dapat dipergiatkan.

Menyentuh Pelan Pemulihan Negara (PPN), Shahidan berkata, ketika ini Perlis telah beralih kepada Fasa 2 PPN dan akan memasuki fasa ketiga dalam masa terdekat disebabkan oleh kes jangkitan COVID-29 di negeri itu dalam keadaan terkawal.

“Justeru itu, adalah wajar sekiranya Perlis diberikan kelonggaran dari segi prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan pergerakan rakyat kembali bebas, sektor-sektor ekonomi dan perniagaan dibuka semula,” katanya.

Beliau berkata, PNBBC juga mahu agar kerajaan bergerak ke hadapan dalam menguruskan negara dan segala retorik untuk menggagalkan kerajaan haruslah dihadapi dengan usaha gigih bagi membela rakyat. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan