26.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 24, 2021

Penarafan BBB+: Ekonomi Malaysia terus berdaya tahan

Must Read

Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Pengekalan penarafan BBB+ bagi Malaysia oleh Fitch Ratings membuktikan daya tahan ekonomi negara dalam persekitaran yang tidak menentu, prospek dan asas pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh serta lebihan akaun semasa yang stabil disokong oleh kepelbagaian pasaran dan produk eksport.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia secara konsisten mencatatkan lebihan akaun semasa sepanjang dua dekad dengan lebihan akaun semasa terbesar dicatatkan pada tahun 2020 berjumlah RM184.8 bilion, bersamaan 4.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurut beliau, kedudukan ini turut disokong oleh rizab antarabangsa yang mencukupi, aset luaran bank dan korporat yang besar, serta kedudukan luaran mata wang asing bersih berjumlah RM1.1 trilion atau 77 peratus daripada KDNK pada akhir Mac 2021.

penarafan BBB+ nilai pelaburan program jaringan prihatin
Gambar: Facebook Tengku Zafrul

“Faktor-faktor ini disokong oleh polisi tukaran asing fleksibel, yang memperkuatkan keupayaan Malaysia berhadapan dengan kejutan luaran.

“Tambahan pula, pengekalan Malaysia dalam index FTSE Russell’s World Government Bond Index merupakan satu testimoni ke atas pasaran modal yang maju serta asas makroekonomi yang kukuh dan berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan media berhubung penarafan BBB+ oleh Fitch Ratings, hari ini.

Fitch Ratings telah mengekalkan penarafan terbitan jangka panjang Malaysia berdenominasi mata wang asing pada BBB+, dengan prospek stabil.

Baca juga:   14 lokaliti di Temerloh antara 25 lokaliti dikenakan PKPD

Pengekalan penarafan BBB+ diberikan ketika dunia berhadapan dengan tindakan semakan semula penarafan luar jangkaan, di mana 101 prospek negatif telah diberikan menjelang akhir tahun 2020.

Baca juga:   Moratorium: Bank tidak kenakan faedah terkompaun, caj penalti

Tengku Zafrul menambah, dalam menangani krisis pandemik COVID-19, Malaysia telah mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu satu strategi yang dinamik, fleksibel dan berpandangan ke hadapan berpandukan data dan sains.

Tambah beliau, berlandaskan pendekatan secara menyeluruh bagi negara, kerajaan akan bekerjasama dengan pakar industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin komuniti dan masyarakat umum dalam melaksanakan PPN.

“Pendekatan PPN yang sistematik akan mengimbangi keperluan untuk melindungi nyawa dan menjaga kelangsungan mata pencarian.

“Sejak pelaksanaan PPN pada 1 Jun 2021, lapan dari 14 negeri di Malaysia telah mencatat penurunan yang besar dalam kes baharu, seterusnya membolehkan mereka beralih ke fasa kedua sejak minggu lalu, di mana lebih banyak sektor ekonomi dan aktiviti sosial dibenarkan di bawah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” jelasnya.

Tengku Zafrul berkata, demi melindungi rakyat dan sektor perniagaan, sejak bermulanya pandemik ini bantuan berterusan telah diberikan melalui pelaksanaan lapan pakej rangsangan dan bantuan Kerajaan bernilai RM530 bilion, dan juga Bajet tahunan bernilai RM322.5 bilion bagi tahun 2021.

Menurut beliau, di bawah langkah-langkah Bajet 2021 dan pakej-pakej ini, RM300 bilion masih boleh dibelanjakan bagi menyokong pemulihan ekonomi, terutamanya ketika melalui pelbagai fasa PPN.

“Sehingga kini, pemantauan berterusan oleh Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) di bawah Kementerian Kewangan menunjukkan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan tersebut telah menyelamatkan 2.8 juta pekerjaan, serta memanfaatkan lebih daripada 20 juta orang dan 2.4 juta perniagaan sejak Mac 2020,” katanya.

Baca juga:   Kemelesetan ekonomi bertambah buruk akibat PKPB

Tengku Zafrul menyatakan, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan terus dipergiat bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi.

Baca juga:   Tular lori bawa pekerja positif COVID-19, majikan disiasat

Katanya, ketika ini, Malaysia merupakan salah satu negara yang melaporkan kadar vaksinasi yang paling pantas di dunia dengan purata suntikan vaksinasi lebih daripada 400,000 dos sehari.

Menurut beliau, PICK dijangka akan meningkatkan kadar vaksinasi kepada 500,000 dos sehari serta menyasarkan 100 peratus daripada penduduk dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur divaksin dengan sekurang-kurangnya satu dos menjelang 1 Ogos di bawah Operasi Lonjakan Kapasiti.

“Berdasarkan pendekatan laluan pantas ini, 100 peratus populasi dewasa dijangka akan divaksinasi penuh menjelang akhir Oktober 2021,” jelasnya.

Tengku Zafrul berkata, faktor lain yang mendorong pemulihan ekonomi negara termasuk permintaan luaran yang lebih baik oleh rakan dagang utama, dan pelaksanaan projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi.

Beliau memberitahu, faktor penyumbang lain termasuklah asas ekonomi negara yang kekal kukuh walaupun dalam situasi mencabar serta struktur ekonomi yang kukuh dan pelbagai.

“Khususnya, Fitch menyatakan bahawa sektor pembuatan dan eksport Malaysia akan terus memanfaatkan lonjakan permintaan global terhadap produk eksport negara seperti produk elektrik dan elektronik (E&E), minyak mentah dan peralatan perlindungan peribadi (PPE),” jelasnya.

Tengku Zafrul berkata, melangkah ke hadapan, agenda nasional akan tertumpu kepada digitalisasi dan penggunaan teknologi serta menambah baik prospek dan daya tahan ekonomi Malaysia dalam jangka panjang.

Baca juga:   14 lokaliti di Temerloh antara 25 lokaliti dikenakan PKPD

Di samping itu, katanya, dalam jangka sederhana, kerajaan berpegang teguh untuk melaksanakan pembaharuan struktur secara berterusan yang akan membolehkan Malaysia menarik pelaburan berkualiti tinggi serta dapat menjana pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi.

“Kerajaan kekal komited dalam memastikan kemapanan fiskal negara dan konsolidasi fiskal jangka sederhana. Dalam tempoh sedekad yang lalu, defisit fiskal telah berjaya dikurangkan daripada 6.7 peratus (2009) daripada KDNK kepada 3.4 peratus (2019).

“Berpandukan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana dan disokong oleh pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana secara berperingkat yang bertujuan untuk meningkatkan dan mempelbagaikan asas hasil negara, kerajaan akan dapat meneruskan konsolidasi fiskal setelah negara pulih daripada pandemik ini.

Baca juga:   Perluas ruang fiskal negara sokong ekonomi dan rakyat

“Ini akan dapat mengimbangi keperluan fiskal jangka pendek dengan kemampanan fiskal dan ekonomi,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, kata beliau, keutamaan kerajaan adalah melindungi kehidupan daripada ancaman COVID-19 selain memastikan prospek pertumbuhan ekonomi kekal kukuh dalam jangka sederhana dan panjang, disokong oleh PPN serta pengurusan kewangan yang berhemah.

Kerajaan akan terus melaksanakan respon secara strategik, proaktif dan berkesan dalam suasana COVID-19 yang mencabar ini di samping meminimumkan kesan ekonomi yang berkekalan akibat pandemik. – EDISI 9

Latest News

Peniaga durian rentas negeri cetus kluster baharu di Kelantan

SEKUMPULAN peniaga durian yang merentas negeri dari Kelantan ke Selangor dan Johor untuk mendapatkan dan menghantar bekalan 'raja buah'...

More Articles Like This