30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Muzium Pendidikan Nasional UPSI sambut ulang tahun ke-10

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

TANJONG MALIM – Muzium Pendidikan Nasional (MPN), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) komited dalam menyediakan peluang platform kerjasama di antara warga UPSI dengan pihak industri dalam bentuk pemadanan kerjasama bagi tujuan memaksimumkan fungsi muzium sebagai ‘muzium pengajaran-belajar dari sejarah, warisan dan artifak’.

Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Puan Sri Rohani Parkash Abdullah berkata, dengan fasiliti dan kelengkapan yang dimiliki muzium berkenaan, beliau yakin masih banyak potensi yang boleh digilap bagi memaksimumkan impak MPN sebagai khazanah pendidikan bernilai negara.

“Bagi memperkukuhkan penjenamaan dan fungsi MPN UPSI dalam pelestarian pendidikan di Malaysia, saya menyeru agar jalinan kerjasama yang lebih erat di antara pemegang taruh dan masyarakat dengan muzium ini dapat dilaksanakan menerusi inisiatif Volunter@MPN UPSI dengan menyumbang idea, kepakaran dan tenaga kepada MPN,’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan 10 Tahun MPN, Pelancaran Kempen Derma Artifak Serta Volunteer @ MPN UPSI secara dalam talian, hari ini.

muzium pendidikan UPSI
Rohani Parkash Abdullah merasmikan sambutan 10 Tahun MPN, Pelancaran Kempen Derma Artifak Serta Volunteer @ MPN UPSI secara dalam talian, hari ini.

Sambutan bertemakan ‘Pelestarian Warisan, Sejarah dan Artifak Menerusi Pendidikan’ itu, katanya, sangat relevan dengan hasrat MPN untuk menjadi satu-satunya muzium pendidikan yang terunggul di Malaysia dengan transformasi sebagai pusat pembelajaran, rujukan dan penyelidikan serta perkhidmatan perundingan berkaitan warisan, sejarah dan artifak yang memfokuskan tema pendidikan.

Beliau menyeru semua warga UPSI agar bersama-sama berusaha menghidupkan MPN dengan mengadakan pelbagai aktiviti pelajar serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran sama ada menerusi fizikal mahupun secara maya.

Rohani memberitahu, usaha itu akan memberi impak positif terhadap pembinaan jati diri, semangat cintakan UPSI dan menghargai sejarah kegemilangan UPSI dalam kalangan warga universiti khususnya mahasiswa UPSI.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga UPSI dan semua pihak yang menjayakan sambutan 10 tahun MPN dan sentiasa bertindak secara proaktif bagi menyokong KPI UPSI dalam semua teras dengan meningkatkan aktiviti berteraskan 7P iaitu pengajaran, penyelidikan, penerbitan, perundingan, pengkomersialan, penyeliaan dan penjanaan menerusi sumber data ilmu di MPN UPSI,” jelasnya.

UPSI
Sebahagian peserta yang mengikuti program sambutan 10 Tahun MPN, Pelancaran Kempen Derma Artifak Serta Volunteer @ MPN UPSI secara dalam talian, hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, sambutan ulang tahun penubuhan 10 tahun MPN diadakan bagi memberi impak keterlihatan dan penjenamaan baharu MPN khususnya dalam dunia pendidikan negara.

Menurut beliau, langkah itu juga membuka peluang kerjasama strategik berkonsepkan heliks empat kali ganda yang akan memperkasakan pembabitan sektor industri, kerajaan, akademia dan masyarakat kepada warga UPSI bersama pihak luar menerusi platform MPN.

“Sememangnya MPN sebelum giat melaksanakan pelbagai aktiviti dan program yang melibatkan penglibatan warga UPSI dan masyarakat luar yang terdiri dari pada pertandingan, program wacana ilmu, program jejak warisan dan banyak lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah MPN, Prof Dr Tajul Shuhaizam Said berkata, sehingga tahun 2021, MPN mempunyai sebanyak 3,853 koleksi dan artifak kekal yang merangkumi pelbagai artifak bersejarah.

“Pihak universiti dan MPN mengalu-alukan pendermappenderma artifak dari seluruh negara untuk memberi sumbangan menerusi Kempen Derma Artifak yang akan dilancarkan dalam maasa terdekat,” jelasnya.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan diharap dapat menambahkan lagi bahan pameran dan sumber rujukan bersejarah berkaitan pendidikan di Malaysia serta artifak berharga dapat dipelihara dengan sempurna di MPN UPSI.

MPN terletak di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah yang memiliki beberapa bangunan warisan termasuk Bangunan Suluh Budiman yang menempatkan muzium berkenaan. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan