30.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 28, 2021

MyUni sistem permohonan dalam talian pertama ke IPTS

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

KUALA LUMPUR – Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM) hari ini memperkenalkan sistem permohonan pelajar ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) secara digital, bersepadu dan berpusat yang pertama seumpama di negara ini, MyUni.

Presiden PKIBM, Amir Hamzah Md Isa berkata, MyUni yang boleh diakses melalui pautan www.myuni.com.my merupakan inisiatif PKIBM sejak setahun yang lalu dalam membantu memudahkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mendapatkan maklumat mengenai peluang pengajian yang ditawarkan di IPTS di seluruh negara.

Katanya, berbanding proses kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang melalui UPU Online kelolaan Bahagian Kemasukan Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, permohonan kemasukan pelajar ke IPTS sebelum ini dilaksanakan secara konvensional, tidak berpusat dan dikendalikan oleh institusi masing-masing.

pendidikan myuni
AMIR HAMZAH MD ISA

“Namun melalui pendekatan ini, pelajar yang berminat melanjutkan pengajian di IPTS atau mereka tidak mendapat tempat di IPTA kini boleh mendapat maklumat lengkap dengan mudah seterusnya membuat pilihan institusi.

“Inisiatif ini juga merupakan bukti komitmen berterusan PKIBM dalam membantu kerajaan meningkatkan akses pelajar lepasan sekolah ke pendidikan pendidikan tinggi khususnya kepada mereka yang tidak berpeluang mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam,” katanya pada sidang media secara maya di sini, hari ini.

Menurutnya, portal MyUni yang dibangunkan dengan kerjasama rakan strategik teknologi, Iklanika Sdn Bhd menawarkan akses secara percuma kepada semua lepasan sekolah.

Baca juga:   Dr Radzi dedah cabaran guru semasa PdPR
Baca juga:   UMNO, Pas setuju jadi parti teras Muafakat Nasional

“Portal MyUni memiliki keistimewaan tersendiri di mana ia boleh diakses di mana sahaja pada bila-bila masa sepanjang tahun. Lepasan sekolah boleh mengakses semua kursus pengajian (diploma dan ijazah sarjana muda) yang ditawarkan oleh institusi yang mengambil bahagian dan mendapat maklumat mengenai sesi kemasukan setiap institusi.

“Lepasan sekolah boleh memadankan keputusan peperiksaan SPM/ STPM, minat dan kecenderungan dengan program-program pengajian yang ditawarkan. Bagi memudahkan lepasan sekolah membuat keputusan secara menyeluruh dan tepat, mereka juga boleh menetapkan lokaliti sesebuah institusi selain mendapat maklumat yang jelas berhubung jumlah yuran dan tempoh masa pengajian,” katanya.

MyUni
Portal MyUni yang dilancarkan hari ini.

Tambah beliau, sistem MyUni secara automatik akan memadankan kursus-kursus pengajian yang bersesuaian dengan pilihan lokaliti institusi, minat atau kecenderungan dan keputusan peperiksaan.

“Berdasarkan saringan itu, satu senarai lengkap program pengajian akan dipaparkan dan lepasan sekolah boleh memohon sehingga lima program pengajian.

“Semua permohonan yang direkodkan dalam sistem akan dihantar kepada institusi yang berkenaan dan sekiranya permohonan tersebut memenuhi syarat dan kelayakan, pihak institusi akan mengeluarkan surat tawaran melalui sistem MyUni seterusnya pelajar boleh mendaftarkan diri di kampus institusi pada masa yang ditetapkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sejak dibuka pada penghujung Mei lalu, lebih 500 lepasan sekolah telah mendaftarkan diri di portal tersebut dan ketika ini sebanyak 50 IPTS telah mengambil bahagian dalam MyUni dan jumlahnya dijangka meningkat dari semasa ke semasa.

Baca juga:   Lembah Klang rekod 99.6% populasi dewasa terima dos pertama

“Semua IPT yang menyertai MyUni merupakan institusi pengajian tinggi yang diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi manakala program-program pengajian yang ditawarkan melalui sistem ini pula mendapat perakuan dan akreditasi penuh daripada Malaysian Qualifications Agency (MQA),” katanya.

Amir Hamzah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson menjelaskan, inisiatif mewujudkan portal itu juga merupakan hasil inovasi dan adaptasi norma baharu PKIBM dalam mendepani ketidaktentuan semasa serta cabaran pasca pandemik COVID-19.

Baca juga:   Belanjawan: Beri perhatian usahawan pendidikan Bumiputera

“PKIBM yang terdiri daripada 5 buah IPTS bertaraf universiti, 14 kolej universiti dan 31 kolej dari seluruh negara dengan kapasiti 150,000 tempat pengajian komited menawarkan program-program berkualiti tinggi, diiktiraf dan menepati keperluan pasaran pekerjaan.

“Secara umumnya, kadar yuran pengajian yang dikenakan oleh IPT milikan usahawan bumiputera PKIBM adalah berpatutan dan langsung tidak membebankan keluarga khususnya ibu bapa lepasan sekolah,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Bekas mufti luah syukur Sittah Annur bertaubat

CYBERJAYA - Bekas Mufti Wilayah Persekutuan yang juga bekas Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk...

Lagi Artikel Berkaitan