34.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, September 27, 2023

Belanjawan: Beri perhatian usahawan pendidikan Bumiputera

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM) menyambut baik dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan pendidikan tinggi negara melalui pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu.

Presiden PKIBM, Amir Hamzah Md. Isa berkata, sebagai persatuan yang menaungi 46 IPTS bertaraf kolej, kolej universiti dan universiti yang dimiliki dan diuruskan sepenuhnya oleh usahawan pendidikan Bumiputera di seluruh negara, persatuan itu mengalu-alukan beberapa peruntukan khususnya kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang bakal memberi manfaat kepada IPTS dan lebih 600,000 pelajar yang sedang menuntut.

Katanya, skim pinjaman bagi pembelian komputer riba, BSN MyRinggit-i COMSIS sebanyak RM100 juta akan membantu pelajar yang mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengikuti pembelajaran secara dalam talian dengan lebih efisien.

“Melalui skim ini, pelajar yang membeli peranti berkenaan hanya dikenakan kadar keuntungan serendah dua peratus setahun. PKIBM juga menyambut baik pengumuman mengenai galakan cukai bagi aktiviti pengkomersialan hasil kajian dan pembangunan oleh institusi penyelidikan awam yang telah diperluaskan kepada IPTS.

“Bagaimanapun, persatuan ini memohon beberapa inisiatif lain yang diumumkan akan diperluaskan dan melibatkan semua IPTS Bumiputera yang selama ini tidak bergantung kepada dana kerajaan sama ada modal pembangunan mahupun perbelanjaan mengurus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, ia termasuklah peruntukan sebanyak RM150 juta bagi program KPT persijilan profesional (KPT-PACE), iaitu graduan baharu ditawarkan baucar bernilai 3,000 ringgit seorang untuk mengambil kursus sijil profesional di universiti awam dan swasta.

“Dijangka 50,000 graduan akan memperoleh manfaat daripada program ini. PKIBM bagaimanapun memohon penyertaannya diperluaskan bukan sahaja kepada universiti swasta malah turut diberikan kepada IPTS bertaraf kolej dan kolej universiti yang berkelayakan.

“Selain itu, PKIBM memohon KPT membuka peluang kepada IPTS Bumiputera untuk terlibat dalam inisiatif melaksanakan program-program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang merangkumi inisiatif pendidikan Islam dan pembelajaran sepanjang hayat kepada 15,000 pelajar di institusi tahfiz dan sekolah pondok melibatkan peruntukan sebanyak RM29 juta,” katanya.

Tambah beliau, sebagai rakan strategik yang diiktiraf pelbagai pihak dalam ekosistem pendidikan tinggi negara, kesemua usahawan pendidikan bumiputera PKIBM juga wajar diberi peluang oleh kerajaan dalam pelaksanaan Strategi Keempat: Mengutama Agenda Keterangkuman.

“Melalui Langkah 1: Pemerkasaan Bumiputera, sejumlah RM6.5 bilion diperuntukkan untuk menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada institusi Bumiputera seperti MARA dan UiTM bagi menjalankan program khusus termasuklah pendigitalan pembelajaran TVET dan menaik taraf program peringkat sijil ke diploma.

“PKIBM menggesa inisiatif dan pelaksanaannya akan melibatkan kesemua 46 buah IPTS PKIBM yang merupakan milikan penuh 100 peratus Bumiputera. PKIBM juga mengulangi permohonan supaya MARA kembali menyediakan kemudahan pinjaman pelajaran kepada pelajar yang mengikuti program-program kritikal peringkat diploma di IPTS Bumiputera ahli PKIBM,” katanya.

Selain itu, beliau menggesa kesemua usahawan pendidikan Bumiputera PKIBM supaya diberikan keutamaan dan dipermudahkan untuk mendapat akses kepada beberapa inisiatif khas melibatkan dana Pemerkasaan Usahawan Bumiputera sebanyak RM4.6 bilion bagi melonjak dan memperkasa agenda dan sektor strategik pendidikan tinggi bumiputera.

“Pada masa sama, kerajaan digesa supaya mewujudkan geran RM500,000 hingga RM1 juta bagi setiap IPTS Bumiputera bagi meningkatkan kapasiti internet dan komunikasi di kampus dan pusat pembelajaran. Insentif ini akan membantu IPTS mempertingkatkan kualiti kandungan pengajaran, prasarana internet di kampus sekali gus membudayakan pengajaran dan pembelajaran secara digital,” katanya.

Dalam pada itu, pandemik Covid-19 turut memberi tekanan kepada sosio-ekonomi masyarakat dan banyak keluarga dalam kelompok B40 bersikap berhati-hati untuk mengeluarkan perbelanjaan untuk pendidikan tinggi anak masing-masing.

“Kerajaan wajar mengembalikan semula kadar asal pinjaman PTPTN kepada pelajar iaitu RM4,000 untuk satu semester. Selain itu. PTPTN dimohon menyegerakan insentif wang pendahuluan kepada pelajar IPTS yang ketika ini hanya dinikmati oleh pelajar di IPTA. Langkah ini secara langsung akan mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung keluarga lepasan SPM yang mendaftar di IPTS,” katanya.

Terkini

1MDB: Mahkamah tolak permohonan Najib ketepi injunksi

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan injunksi Mareva yang diperoleh 1Malaysia Development...

Lagi Artikel Berkaitan