28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Rafidah tak faham masalah sebenar rakyat biasa – CUEPACS

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kenyataan seorang bekas menteri yang mendakwa tidak perlu dibantu kerana masih mempunyai pendapatan hasil daripada wang pencen juga menunjukkan beliau tidak memahami masalah sebenar rakyat biasa apabila sudah berjaya menikmati hasil daripada kerjaya politik.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, walaupun hanya menerima pencen, jumlah wang di dalam akaun bank bekas menteri tersebut tidak boleh disamakan dengan rakyat biasa.

“Simpanan dalam bank beliau mungkin tidak perlu diusik seperti dialami oleh pesara kerajaan lain yang mungkin langsung tiada wang simpanan kerana masih mempunyai anak sedang belajar.

“Jika semua pesara kerajaan seperti bekas menteri tersebut, adalah wajar kerajaan tidak perlu lagi memberi apa-apa bantuan.

“Bagaimanapun adakah semua nasib pesara kerajaan sama seperti bekas menteri tersebut?” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Adnan Mat
ADNAN MAT

Semalam, Free Malaysia Today melaporkan, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, mereka yang masih mempunyai pendapatan tidak seharusnya membuat tuntutan pada masa ini.

“Seperti saya, saya ada pendapatan tetap kerana pencen saya. Mengapa saya kena minta tolong?” katanya kepada Free Malaysia Today.

Adnan menambah, CUEPACS kesal dengan kenyataan seorang bekas menteri yang berpendapat bahawa penjawat awam tidak wajar diberi penangguhan bayaran pinjaman perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) memandangkan mereka semua tidak terjejas dari segi pendapatan masing-masing.

Beliau memberitahu, konteks yang cuba disampaikan oleh bekas menteri tersebut tidak begitu tepat kerana menyentuh penjawat awam sebagai individu dan bukannya sebagai isi rumah.

Menurut Adnan, CUEPACS mengakui dari sudut individu, penjawat awam sememangnya tidak terkesan daripada segi pendapatan.

“Walau bagaimanapun, daripada sudut isi rumah hampir 50 peratus pasangan tidak bekerja di sektor kerajaan dan turut terkesan dengan pandemik yang melanda negara ketika ini.

“Tidak salah jika CUEPACS membawa suara mereka ini kerana mereka turut terjejas apabila pasangan masing-masing tidak lagi boleh berniaga, dipotong gaji malah ada yang diberhentikan kerja.

“Selain itu, kebanyakan bantuan yang disalurkan oleh kerajaan melihat daripada kesan langsung kepada isi rumah dan bukannya individu semata-mata,” jelasnya.

Beliau berkata, selain itu, kebanyakan penjawat awam juga memohon pinjaman LPPSA dengan mengemukakan pendapatan bersama mereka dengan pasangan masing-masing bagi membolehkan pembiayaan diluluskan.

Tambah Adnan, jika tidak, sudah tentu pembiayaan penjawat awam ini sukar mendapat kelulusan apatah lagi dengan harga kediaman yang mahal ketika ini.

“Sekiranya LPPSA membenarkan penangguhan bayaran pinjaman dilakukan, mereka yang terbabit akan mempunyai lebihan pendapatan yang boleh digunakan untuk merancang kembali kewangan serta membantu keluarga yang dalam kesusahan,” ujarnya.

Adnan berkata, pelaksanaan moratorium pinjaman bank dan pengeluaran akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan oleh kerajaan tidak menetapkan syarat.

Menurut beliau, walaupun ada pihak yang tidak terjejas dari segi pendapatan, mereka turut dibenarkan membuat pengeluaran KWSP serta memohon moratorium.

“Pelaksanaan inisiatif tersebut juga bukanlah mandatori kerana hanya mereka yang mahukannya sahaja boleh memohon dan mereka yang tidak mahu kerana tidak terjejas tiada masalah untuk tidak memohon.

“Kerajaan melaksanakan inisiatif ini kerana mendengar rintihan daripada golongan M40 dan T20 yang turut mengalami peningkatan tanggungan kerana mereka juga membantu ahli keluarga atau saudara yang terjejas akibat COVID-19

“Sebab itulah kerajaan tidak menetapkan apa-apa syarat dalam isu moratorium dan pengeluaran KWSP. Jadi, tiada salahnya untuk penjawat awam turut sama mendapat moratorium pinjaman LPPSA kerana secara isi rumahnya mereka turut terkesan,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan