25.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Mahathir prokapitalis, tidak suka gaji rakyat tinggi – Najib

Mesti Baca

CYBERJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa bekas Tun Dr Mahathir Mohamad seorang prokapitalis dan kroni, sebab itulah dia tidak suka gaji rakyat tinggi.

Najib berkata, ini terbukti apabila Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh itu paling kuat menentang Akta Gaji Minimum yang dilaksanakan kerajaan semasa beliau menjadi Perdana Menteri pada 2012 lalu.

“Tun Mahathir lebih suka pada golongan kapitalis dan kroni. Dia tidak suka gaji rakyat menjadi tinggi sebab dia mahu gaji rendah untuk menarik pelaburan asing.

“Sebab itu, kenaikan gaji masa dia PM4 adalah sangat perlahan dan gaji sangat rendah,” katanya menerusi hantaran dalam Facebooknya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian bagi menjawab komen seorang netizen yang mempersoalkan beliau yang terus menerus menuntut kerajaan membenarkan rakyat membuat pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Netizen itu berkata, perkara itu tidak pernah dilakukan oleh Mahathir kerana “Tun tahu jika wang KWSP rakyat dibenarkan pengeluaran secara tak terkawal ia akan menyebabkan pencarum menghadapi kekurangan wang setelah pencen.

“Inilah bukti Tun tak seteruk Najib dan Asyraf (Wajdi) Dusuki,” komen netizen tersebut sepertimana dipetik Najib.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, realitinya falsafah dan pendekatan beliau dan Mahathir berhubung gaji dan kadar pulangan KWSP sangat berbeza.

Najib berkata, baginya beliau percaya tiada guna kerajaan menarik pelaburan asing jika gaji rakyat terus rendah dan jurang pendapatan antara yang kayandan miskin tetap besar.

“Lagipun, negara maju mana yang gaji penduduknya rendah sekiranya hasrat negara ialah untuk mencapai status negara maju?

“Sebab itu, kita lebih cenderung untuk gunakan Pelan Transformasi dengan perancangan teliti serta hala tuju negara yang jelas untuk menarik pelaburan asing yang membayar gaji lebih tinggi kepada rakyat.

“Bukan menggunakan gaji pekerja murah (cheap labour) sebagai tawaran untuk menarik pelabur asing seperti Tun Mahathir,” katanya.

Atas dasarnya itulah, kata Najib, jumlah pelaburan asing, kadar kenaikan gaji, penurunan kadar miskin tegar dan penurunan Pekali Gini (yang melambangkan jurang pendapatan) dalam tempoh 9 tahun beliau menjadi Perdana Menteri adalah paling tinggi dalam sejarah.

Najib berkata, Mahathir juga kurang memberi peluang kepada KWSP untuk menjana keuntungan.

Advertisements

Malah, katanya, ada beberapa kali dia menyalahgunakan dana KWSP untuk bail-out projek-projeknya yang gagal termasuk projek MAMINCO yang menyebabkan harga timah menjunam dan seluruh industri timah yang menjadi export utama negara ketika itu turut runtuh.

Sebab itu, katanya, kadar pulangan KWSP bersih (iaitu kadar dividen tolak kadar faedah bank) adalah rendah sepanjang Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Katanya, sepanjang Mahathir menjadi Perdana Menteri Keempat dari 1997 hingga 2003, kadar pulangan KWSP antara 4.25 peratus hingga 6.84 peratus sahaja sedang kadar faedah bank sering di atas 10 peratus.

“Ahli KWSP sebenarnya rugi masa itu dengan menyimpan dalam KWSP sebab kadar pulangan dari simpanan tetap di bank adalah lebih tinggi,” katanya.

Sebaliknya, jelas Najib, beliau telah lebih berusaha untuk memastikan kadar dividen KWSP lebih tinggi dengan beberapa inisiatif, antaranya:

1. Membeli balik syarikat lebuh raya PLUS untuk diletakkan 49 peratus di bawah KWSP dan kerajaan membayar pampasan tahunan kepada PLUS agar KWSP mendapat manfaat.

2. Menjual tanah Lembaga Getah jauh di bawah harga pasaran secara terus tanpa tender kepada KWSP untuk dijadikan projek KWASA Damansara bernilai berpuluh bilion ringgit.

3. Melibatkan KWSP dalam projek Battersea England bernilai berpuluh bilion Ringgit juga.

4. Lebih memberi keutamaan kepada syarikat milik KWSP seperti MRCB untuk diberi projek infrastrutur negara. (Jika dulu, projek-projek ini akan diberi secara bergilir kepada kawan-kawan Tun Mahathir)

5. Membenarkan KWSP untuk lebih melabur di luar negara sebab saiz pasaran tempatan adalah terhad.

Katanya, hasil daripda itu, kadar dividen KWSP antara paling tinggi dalam tempoh 20 tahun walaupun kadar faedah bank dalam tempoh tersebut adalah rendah.

“Inilah sebab saya berani untuk tuntut skim pengeluaran KWSP bagi ahli-ahli yang sangat terdesak dalam tempoh pandemik ini.

“Sebab saya tahu dan yakin bahawa simpanan yang dikeluarkan hari ini mampu dipulihkan dengan kadar yang laju seperti telah terbukti masa saya PM di mana jumlah aset KWSP naik dari RM300 bilion kepada RM850 bilion dalam tempoh 9 tahun,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan