CYBERJAYA – Seramai 4,531,550 orang telah menerima dos kedua vaksin COVID-19 di negara ini setakat semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, penerima dos vaksin yang pertama pula adalah seramai 9,815,735 orang.
Menurut beliau, secara keseluruhan sebanyak 14,347,285 dos telah diberikan setakat semalam.
“Sebanyak 344,961 dos diberikan pada 18 Julai,” katanya dalam ciapan Twitter beliau hari ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 244,761 orang telah menerima dos vaksin yang pertama manakala 100,200 orang menerima dos kedua.
Setakat ini, di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 3,866,419 juta dos pertama sudah diberikan diikuti Sarawak (1,563,346 dos), Johor (674,506 dos), Perak (571,833 dos) dan Pulau Pinang (505,640 dos).
Bagi dos kedua, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan sebanyak 1,226,698 dos, disusuli Sarawak (894,373 dos), Johor (376,373 dos) dan Sabah (362,659 dos).

Labuan merekodkan peratusan pemberian vaksin tertinggi iaitu sebanyak 86.8 peratus daripada populasi dewasa sudah menerima dos pertama vaksin dengan 62 peratus menerima dua dos setakat malam tadi.
Ia disusuli Sarawak dengan 76.5 peratus populasi dewasa menerima dos pertama dengan 43.8 peratus menerima dos kedua.

Di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pula, sebanyak 62.7 peratus populasi penduduk dewasa menerima dos pertama dengan 19.9 peratus menerima dos kedua.
Seterusnya, Negeri Sembilan mencatatkan sebanyak 53.4 peratus populasi dewasa menerima dos pertama dengan 20 peratus menerima dos kedua. – EDISI 9