24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

KSM syor 2 mekanisme latihan kemahiran bersemuka

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengesyorkan dua mekanisme untuk membolehkan latihan kemahiran secara bersemuka dilaksanakan di institut latihan kemahiran swasta (ILKS) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

KSM berkata, mekanisme pertama memerlukan ILKS kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Berhubung mekanisme kedua, MKN akan mengesyorkan agar kerajaan memberi keutamaan serta mempercepatkan proses vaksinasi kepada kakitangan, pengajar dan pelajar Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

“Menerusi mekanisme ini, latihan kemahiran secara bersemuka dapat dilaksanakan sepenuhnya sekaligus pelaksanaan tuntutan bayaran dan pembiayaan ke atas Pusat Bertauliah JPK dapat dibuat sewajarnya supaya Pusat Bertauliah JPK dapat terus kekal beroperasi,” kata KSM dalam kenyataan media, hari ini.

Pada 26 Jun lalu, Presiden Persekutuan Pusat Bertauliah JPK Malaysia (FeMAC), Azizul Mohd Othman memaklumkan, sebanyak 16 pusat bertauliah JPK terpaksa menutup operasi manakala 179 lagi tidak dapat membuat pengambilan pelatih sejak PKP dikuatkuasakan mulai Mac tahun lalu.

Beliau berkata, dianggarkan pusat bertauliah swasta kehilangan peluang pendapatan bernilai RM160 juta sepanjang tempoh tersebut.

Menurut Azizul, mengikut unjuran yang dibuat oleh FeMAC, sekiranya keadaan itu berterusan, lebih separuh daripada 179 pusat bertauliah swasta akan berhadapan dengan risiko penutupan.

Sebelum itu, pada 25 Jun, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB), Mohammad Rizan Hassan menggesa kerajaan melalui KSM agar segera memberi kebenaran pembukaan operasi pusat latihan kemahiran yang melaksanakan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kepada golongan belia di negara ini.

Advertisements

KSM menambah, kerajaan melalui JPK telah menyediakan siling peruntukan berjumlah RM200 juta bagi membiayai program berinsentif SLDN RMK-11 (2016 – 2020).

Kementerian itu menjelaskan, daripada jumlah itu, sehingga 31 Mei lalu, sebanyak RM146,389,465 telah dibelanjakan.

“Menerusi Kumpulan Wang COVID-19 (KWC) pula, sejumlah RM60 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi membiayai program SLDN PLUS bagi tahun 2021.

“Sejumlah RM6,541,650.00 telah dituntut oleh Pusat Bertauliah JPK dan dimanfaatkan sepenuhnya sehingga kini,” jelas KSM.

KSM berkata, kerajaan menyedari kesan pandemik COVID-19 apabila pelaksanaan PKP dikuatkuasakan bermula Mac tahun lalu di mana semua Pusat Bertauliah JPK tidak dapat menjalankan kursus kemahiran dan pengambilan pelatih telah tertangguh.

Menurut kementerian itu, oleh kerana dua aktiviti utama ini tidak dapat dilaksanakan, operasi Pusat Bertauliah JPK turut terjejas dan akhirnya tuntutan yang sepatutnya dibuat oleh Pusat Bertauliah JPK tidak dapat diselesaikan.

“Dalam menangani isu ini, KSM melalui JPK telah menyediakan Garis Panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) JPK selaras dengan arahan PKP, dengan melonggarkan pelaksanaan latihan teori secara dalam talian manakala aktiviti kawalan mutu latihan kemahiran dan pentauliahan program bertauliah turut dijalankan secara dalam talian supaya operasi Pusat Bertauliah JPK tidak terjejas.

“Namun demikian, aktiviti latihan kemahiran secara amali memerlukan kehadiran pelatih secara fizikal dan bersemuka. Kekangan ini telah menjejaskan pelaksanaan latihan kemahiran dan pada masa yang sama tuntutan bayaran oleh Pusat Bertauliah JPK tidak dapat dibuat,” kata KSM. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan