29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Kes meningkat, sistem kesihatan 4 negeri dikhuatiri lumpuh

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Peningkatan kes harian baharu Covid-19 di empat negeri yang melebihi kapasiti maksimum hospital dikhuatiri boleh melumpuhkan sistem kesihatan sekiranya situasi tersebut berterusan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga kini keempat-empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Labuan, Selangor dan Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan lebih 38 kes harian baharu bagi setiap 100,000 penduduk. 

“Kes harian baharu yang dilaporkan tidak menunjukkan tanda-tanda pengurangan malah kes meningkat secara purata 2.6 peratus selama tujuh hari kebelakangan ini. 

“Jika situasi ini berterusan, sistem kesihatan di negeri-negeri tersebut akan lumpuh dan seterusnya situasi yang sama bagi seluruh negara mungkin berlaku,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Noor Hisham berkata, purata kes baharu harian selama tujuh hari dari 30 Jun sehingga 6 Julai adalah sebanyak 6,539 kes jauh lebih tinggi berbanding nilai ambang Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu 4,000 kes sehari atau 12.2 kes baharu harian bagi setiap 100,000 penduduk.

“Nilai ambang 4,000 kes baharu harian ini adalah ditetapkan berdasarkan kapasiti hospital menghadapi situasi luar jangka, kadar kemasukan kes ke wad dan kadar discaj kes semasa.

“Negeri yang mencatatkan bilangan kes baharu melebihi nilai 12.2 kes bagi setiap 100,000 penduduk adalah Wilayah Persekutuan Labuan, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Sarawak, dan Pahang,” katanya.

Noor Hisham berkata, lebih membimbangkan lagi, tren kemasukan kes-kes COVID-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) tidak menunjukkan penurunan yang ketara sejak dari Minggu Epidemiologi (ME) ke-23 di mana jumlah penggunaan katil ICU masih melebihi 90 peratus. 

Menurut Noor Hisham, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengambil langkah segera bagi meningkatkan lagi kapasiti merawat COVID-19 di lapangan. 

Advertisements

“Antara langkah-langkah yang telah diambil adalah, penukaran beberapa hospital di kawasan Lembah Klang sebagai Full COVID-19 Hospital, misalnya Hospital Ampang, Hospital Sungai Buloh, dan Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Selain itu, meningkatkan lagi kapasiti katil Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk dijadikan sebagai pusat rawatan pesakit kategori 4 dan 5.

“Langkah lain diambil adalah dengan memindahkan pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta terutamanya sekitar HKL dan HTAR melalui mekanisma penyumberan luar serta mempertimbang menukar status Hospital Shah Alam bagi merawat kes-kes COVID-19,”katanya.

Tambah beliau, KKM juga akan mengambil langkah menaik taraf kegunaan katil (repurpose bed) di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal COVID-19 dan menambah kapasiti katil-katil bagi menempatkan pesakit COVID-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Awam khusus dalam merawat pesakit COVID-19.

“Di samping itu, KKM juga memberi cadangan menggunakan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai hospital COVID-19; bekerjasama dengan 112 buah hospital swasta khususnya di Lembah Klang bagi rawatan pesakit COVID-19 di katil wad biasa dan di katil ICU.

“Lain-lain, dengan menggalakkan penubuhan lebih banyak Pusat Kuarantin Risiko Rendah Swasta (PKRCS) kendalian fasiliti kesihatan swasta; serta memobilisasikan lebih ramai petugas kesihatan dari negeri-negeri PPN Fasa 2 ke negeri-negeri kritikal bagi tujuan rawatan pesakit, mobilisasi anggota dari hospital swasta dan menggalakkan penglibatan sukarelawan dalam aktiviti-aktiviti mengawal wabak COVID-19 dan vaksinasi,”katanya.

Kata beliau, negeri-negeri yang telah beralih ke Fasa 2 dinasihatkan untuk terus mengamalkan kepatuhan yang penuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan bagi memastikan situasi di negeri-negeri tersebut dapat terus pulih dan beralih ke fasa seterusnya bagi mempercepatkan proses pemulihan sektor kesihatan, ekonomi, dan sosial.

Pada masa yang sama, Noor Hisham menggalakkan semua negeri untuk terus menjalin dan menggandakan kerjasama antara semua pihak dalam membendung penularan wabak COVID-19 di negeri masing-masing.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan