27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Ismail Sabri, Hishammuddin dihujani ucapan tahniah

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima ucapan tahniah daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin kerajaan, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat atas pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri hari ini.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan ucapan tahniah itu melalui Twitter beliau.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri di atas pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Saya yakin kestabilan negara dan kemakmuran rakyat adalah usaha kita bersama. Teguh Kita, Menang Bersama,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.

Mohamed Azmin yakin pengalaman dan kewibawaan Hishammuddin akan memperkukuhkan kerajaan dan kemakmuran negara.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS yakin pelantikan Ismail Sabri adalah amat tepat berdasarkan pengalaman beliau sebagai seorang menteri dan menteri kanan serta pemimpin UMNO paling kanan dalam Kabinet.

“PAS yakin beliau akan dapat membantu Perdana Menteri dalam menguruskan negara terutamanya menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19,” jelasnya dalam kenyataan media.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula berkata, pelantikan Ismail Sabri dan Hishammuddin membuktikan pentadbiran kerajaan mahu negara diuruskan sebaik-baiknya dan mengetepikan soal politik yang sama sekali tidak membawa manfaat dalam suasana mencabar ketika ini.

Beliau menyeru semua pihak agar berganding bahu dan tidak terlalu berpolitik sedangkan pada masa sama, rakyat sangat terkesan dan memerlukan perhatian.

Advertisements

“Apabila tiba masanya untuk berpolitik kelak termasuklah pilihan raya, marilah kita meraikannya tetapi buat masa ini, mari kita memberikan perhatian kepada permasalahan rakyat yang memerlukan perhatian termasuk usaha kita memberi vaksinasi secara lebih agresif lagi,” ujarnya dalam kenyataan media.

Dalam pada itu, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menyifatkan lantikan Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah tepat bagi membantu negara berdepan cabaran besar akibat COVID-19.

Beliau percaya pelantikan Ismail Sabri dan Hishammuddin akan memperkukuhkan lagi kestabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee percaya bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat keputusan melantik Ismail Sabri dan Hishammuddin bagi memastikan Kabinet dikendalikan oleh negarawan yang mampu dan berpengalaman dengan rekod pengurusan krisis yang sangat baik untuk membantu mengemudi negara pasca pandemik COVID-19.

“Pelantikan tersebut telah mengukuhkan lagi kerajaan yang dipimpin PN untuk memberi tumpuan kepada Pelan Pemulihan Negara dalam masa sesingkat mungkin. Inilah yang dikehendaki oleh rakyat ,” ujarnya.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon pula perkata, partinya akan terus bekerjasama erat dengan Ismail Sabri dan Hishammuddin serta semua anggota Kabinet untuk memberi tumpuan sepenuhnya dalam usaha memerangi pandemik COVID-19, memulihkan semula ekonomi negara dan membantu rakyat berdepan waktu sukar.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad berharap pelantikan tersebut akan memantapkan pentadbiran negara di samping meredakan suhu politik yang semakin tidak tenteram kebelakangan ini.

Menurut beliau, UMNO perlu meredakan ketidaktentuan itu selepas jawatan nombor dua dimiliki pemimpin parti berkenaan.

“Rakyat tidak mahu pertarungan politik menyebabkan negara dan kerajaan tidak stabil.

“Ketidakstabilan politik hanya akan menyukarkan kehidupan rakyat yang sudah sedia tenat, terutamanya rakyat yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak berkesudahan,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan