24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Kerajaan PN tidak gagal penuhi aspirasi rakyat

Mesti Baca

CYBERJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menolak tuduhan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah gagal memenuhi aspirasi rakyat.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tuduhan-tuduhan beliau hanya merupakan ulang suara tohmahan yang sering disebut oleh pembangkang, terutamanya PKR dan DAP.

Menurut beliau, pelbagai bentuk bantuan telah dikeluarkan oleh kerajaan dalam rangka membela nasib rakyat dan membina semula ekonomi negara, dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500 bilion setakat ini.

“Tidak pernah ada pakej bantuan yang lebih tinggi daripada apa yang dikeluarkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baik dari segi menjaga kebajikan rakyat mahupun memberi suntikan kepada pembinaan semula ekonomi.

“Pelan Pemulihan Negara pula menggariskan dengan jelas strategi untuk membawa negara keluar daripada belenggu wabak COVID-19.

“Vaksinasi menjadi senjata utama kita, dan pada penghujung Julai bekalan vaksin yang kita terima akan meningkat ke 16 juta dos.

“Pemberian vaksin harian juta telah meningkat kepada lebih 300,00 dos sehari,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Situasi politik di negara ini kembali panas apabila UMNO mengumumkan menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Muhyiddin dengan serta-merta.

Pengumuman itu dibuat awal pagi hari ini oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media secara maya selepas mesyuarat Majlis Tertinggi parti yang bermula malam tadi.

Advertisements

Ahmad Zahid turut menyatakan tujuh kegagalan kerajaan PN dalam memenuhi aspirasi rakyat.

Wan Saiful menambah, dari segi menjaga kebajikan rakyat, menjaga kesihatan rakyat dan membina semula ekonomi, kerajaan sedang menuju ke arah kejayaan.

Menurut beliau, tiada sebarang ugutan atau tekanan yang boleh menutup hakikat sebenar bahawa kerajaan PN yang dipimpin oleh Muhyiddin sentiasa memberi keutamaan kepada agenda rakyat.

“Bersatu berpandangan bahawa dalam situasi ini, Ahmad Zahid sendiri yang sebenarnya telah gagal untuk menjaga perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan parti-parti politik Melayu-Islam, gagal memahami bahawa rakyat menuntut sebuah kerajaan yang prihatin dan mendahulukan keperluan rakyat, gagal memahami bahawa rakyat semakin muak dengan politik berlebihan, gagal memanfaatkan sebegitu ramai tokoh UMNO yang berada dalam kerajaan untuk kita semua bersama-sama memberi tumpuan berkhidmat untuk rakyat, dan gagal meletakkan agenda rakyat lebih tinggi daripada agenda peribadi,” jelasnya.

Wan Saiful memberitahu, pengumuman yang dibuat oleh Ahmad Zahid tidak memberi kesan kepada perjalanan kerajaan kerana dalam sistem demokrasi Westminster, kerajaan dibentuk oleh seorang Perdana Menteri berdasarkan sokongan terbanyak daripada ahli-ahli Parlimen.

Beliau berkata, Bersatu berdiri teguh mendokong kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan mengambil sikap untuk meneruskan tumpuan kepada menjaga kepentingan rakyat.

“Bersatu sentiasa berpegang teguh dengan prinsip-prinsip ketelusan, bebas rasuah, berintegriti dan menghormati kedaulatan undang-undang.

“Bersatu tidak sekali-kali akan bersetuju dengan sebarang ugutan atau tuntutan untuk mencampuri urusan mahkamah untuk apa-apa tujuan sekalipun,” katanya.

Wan Saiful berkata, Bersatu berpandangan bahawa adalah lebih baik jika dalam hari, bulan dan tahun-tahun mendatang, seluruh masa dan tenaga kita ditumpukan kepada matlamat untuk menang bersama dalam menghadapi cabaran yang sedang melanda negara, bukan menimbulkan polemik politik yang tidak berkesudahan. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan