28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Ahli Parlimen UMNO boleh guna budi bicara di Parlimen

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Ahli-ahli Parlimen UMNO boleh menggunakan budi bicara mereka ketika sidang Parlimen nanti, apabila berlaku sebarang pengundian.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, namun, difahami bahawa semua keputusan parti mestilah dijadikan panduan oleh ahli-ahli Parlimen dalam melaksanakan sebarang tanggungjawab mereka.

“Ketetapan itu diambil selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mengambil keputusan dalam mesyuarat MKT UMNO secara maya semalam,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Dalam sidang media dini hari selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa parti itu menarik balik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Pada masa yang sama, Presiden UMNO itu turut mendesak Muhyiddin melepaskan jawatannya bagi memberi laluan kepada seorang Perdana Menteri sementara dilantik.

Bagaimanapun beliau tidak menyebutkan mengenai keputusan MKT yang membenarkan budi bicara ahli-ahli Parlimen UMNO sama ada menyokong Muhyiddin atau sebaliknya jika berlaku undian di Parlimen.

Undian tersebut dipercayai merujuk jika ada usul undi tidak percaya terhadap Ahli Parlimen Pagoh sebagai Perdana Menteri.

Susulan itu, satu rakaman audio yang dipercayai suara Ahmad Zahid semasa mesyuarat MKT tersebut tular hari ini, yang menyebutkan keputusan tersebut.

Sementara itu, Ahmad berkata, MKT mengesahkan keputusan agar mesyuarat cawangan UMNO serta Wanita, Pemuda dan Puteri cawangan akan dilaksanakan pada 15 Ogos hingga 30 September ini.

Ia melibatkan 66,287 cawangan membabitkan 191 bahagian.

“Persidangan Cawangan tanpa pemilihan jawatan itu boleh dihadiri hanya 1/4 kehadiran dengan 25 peratus jumlah ahli iaitu cukup korum, dibuat secara maya atau secara bersemuka jika Prosedur Operasi Standard (SOP) membenarkan.

“Tarikh-tarikh untuk Mesyuarat Perwakilan Bahagian empat peringkat Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri, Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO tanpa pemilihan dengan kehadiran hanya 1/4 daripada jumlah ahli akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Selain itu, katanya, Ahmad Zahid turut merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan