26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

‘Kerajaan gagal’ hanya label hitam, propaganda politik – Nordin

Mesti Baca

CYBERJAYA – Gelaran ‘kerajaan gagal‘ terhadap pemerintahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanyalah label hitam dan bukanlah sesuatu yang mutlak.

Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi berkata, apa yang gembar-gembur ‘kerajaan gagal’ hanyalah bersifat propaganda politik.

Beliau berkata, kaedah mengulang-ulang apa yang tidak sepenuhnya benar sehingga menjadi mutlak benar pernah diguna pakai penasihat psikologi Adolf Hitler suatu ketika dahulu.

“Cuba teliti benar tak benarnya kerajaan Malaysia gagal. Kalau kita tengok kadar kematian paling buruk WHO (Pertubuhan Kesihatan Dunia) kata ialah Amerika Syarikat, India dan Brazil, bukan Malaysia. Bukan yang paling buruk.

“Ya Malaysia pernah berada ranking tinggi dari segi kadar gandaan jangkitan tetapi bukan sepanjang Covid-19. Biasalah turun naik.

“Mahasiswa di universiti pun ada yang GPA semester jatuh tapi ada semester naik balik. Yang penting CGPA, bukan GPA. Kalau dapat setiap semester senarai dekan tu baguslah, Alhamdulillah,” katanya menerusi catatan dalam Facebooknya.

NORDIN KARDI

Nordin berkata, label hitam itu diberikan hanya kerana kerajaan bertindak flip-flop atau sekejap buka, sekejap tutup sektor ekonomi dan sosial perkara sama dilakukan oleh Jepun, Korea dan Singapura.

“Bukan Malaysia seorang. Maklumlah semuanya tak pernah alami serangan Covid-19. Semua trial and error.

“Kalau yang lain pun jadi PM (Perdana Menteri) sepanjang setahun setengah yang lalu keadaannya, tentu sama kerana penasihat dan penganalisisnya sama iaitu pegawai kerajaan atau perunding profesional dalam bidang kesihatan, keselamatan, sosial, statistik dan lain-lain. Sama orangnya atau team-nya. Bukan orang politik,” katanya.

Kata beliau, jika label ‘kerajaan gagal’ kerana ekonomi jatuh akibat Covid-19, semua negara di dunia turut mengalami kesan yang serupa.

Malah, jelas beliau, Bank Dunia melaporkan ekonomi global kini menjunam ke arah resesi dan tidak hanya terhad kepada kerajaan PN sahaja.

“Jadi secara tentatif saya katakan kerajaan gagal adalah label hitam bukan benar mutlak. Dia adalah mutlak sebagai label propaganda politik yang dicipta, dipentaskan dan disebar sebagai mutlak benar.

“Adakah saya menafikan kita semua susah? Tak! saya tak nafikan. Salah baca tu!,” katanya.

Nordin berkata, jika kerajaan hari ini dijatuhkan tiada jaminan mutlak bahawa penggantinya nanti terjamin sebagai kerajaan yang berjaya.

Jika berjaya sekali pun, katanya, ia adalah juga hasil ‘trial and error’ yang dilakukan oleh kerajaan PN hari ini yang sudah tentu tidak perlu diulang oleh kerajaan yang baharu.

“Alhamdulillah jika berjaya, bagaimana kalau mereka angkuh lalu ‘reinvent new wheel’ dan tolak pembelajaran trial and error kerana fakta diperolehi daripada kerajaan PN, lalu Malaysia terus hancur?”

“Tapi kalau ada yang mengaku ada tangan ‘majis’ (ajaib) boleh selesaikan semua ini dari mula dulu, pada saya itu semua tahyul. Saya pun tak ajak kawan kawan mempercayai saya,” katanya.

Sebelum ini Majlis Kerja Tertinggi UMNO memutuskan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin selaku Perdana Menteri kerana didakwa gagal menunaikan tanggungjawabnya membela rakyat, memulihkan ekonomi serta membawa keluar negara daripada pandemik Covid-19.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan bagi membolehkan seorang Perdana Menteri sementara dilantik bagi menyelesaikan isu Covid-19 yang masih membelenggu. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan