TEKS khutbah Jumaat dan Hari Raya disaran diberi ruang fleksibiliti dengan memasukkan elemen tempatan bagi menghidupkan kembali fungsi mimbar sebagai medium mendekati masyarakat setempat.
Cadangan itu disuarakan oleh tokoh pendidikan, Tan Sri Dr Nordin Kardi yang mengesyorkan agar Majlis-Majlis Agama Islam Negeri membenarkan kira-kira satu perempat kandungan khutbah disampaikan oleh imam berdasarkan isu tempatan atau kariah masjid masing-masing.
Menurut beliau, pendekatan itu mampu menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan jemaah selain menjadikan khutbah lebih dekat dengan realiti kehidupan harian masyarakat.
“Mungkin hal kecil-kecil sahaja seperti tandas kotor, motorsikal diparkir sampai ke pintu masjid, mempromosi program pendidikan dan lain-lain, tetapi tak perlu diseragamkan atau dipreskripsikan dengan ketat. Intinya menyemai semangat kariah dengan kemesraan tempatan,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Beliau yang juga Pesuruhjaya Jakarta Business School berkata, kelonggaran tersebut tidak perlu dikawal secara terlalu ketat kerana matlamatnya adalah untuk mewujudkan kemesraan antara institusi masjid dan komuniti setempat.

Beliau turut memberi contoh bagaimana setiap masjid boleh menampilkan keunikan tersendiri melalui khutbah, seperti masjid universiti yang menyentuh isu pendidikan tinggi, masjid di pusat pentadbiran membincangkan hal ehwal penjawat awam, atau masjid di kawasan luar bandar mengetengahkan isu pertanian dan perikanan.
“Mimbar akan meriah kembali dengan isu misalnya lagi seperti masjid universiti cakap hal universiti, Masjid Putrajaya cakap isu kakitangan awam, Masjid Bukit Aman cakap hal polis, Masjid Bagan Datuk cakap hal kebun kecil kelapa atau koko atau nelayan pantai dan Masjid Sungai Tungku cakap apa nak buat musim menuai padi sudah dekat, Masjid Ketereh cakap hal Budu Cap Ketereh sebagai produk dijumpai di Los Angeles dan macam-macam lagi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kebimbangan terhadap kemungkinan penyalahgunaan mimbar untuk tujuan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk menyekat keseluruhan ruang tersebut.
“Tak perlaj takut sangat dengan khatib menyeleweng politik. Tak ramai pun. Tangkap dan hukumlah yang menyeleweng, bukan hukum semua majoriti yang baik.
“Jangan ada macam ‘colective punishment’ kerana dahulu ada beberapa kes salah guna mimbar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa cadangan tersebut hanya melibatkan sebahagian kecil kandungan khutbah, manakala selebihnya kekal mengikut teks yang disediakan pihak berkuasa agama negeri. — Edisi 9

