PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kenaikan harga minyak dunia susulan konflik di Asia Barat memberi kesan langsung kepada Malaysia, meskipun negara ini merupakan pengeluar minyak.
Menurut beliau, gangguan di Selat Hormuz sebagai laluan utama perdagangan minyak global telah menyebabkan bekalan dunia terjejas, sekali gus mendorong kenaikan harga secara mendadak.
“Apabila laluan ini terganggu, bekalan minyak dunia menjadi terhad dan harga melonjak.
“Malaysia turut terkesan kerana hampir 50 peratus bekalan minyak negara melalui Selat Hormuz,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar berkata, meskipun Malaysia menghasilkan minyak, realitinya negara masih bergantung kepada import produk petroleum bertapis bagi memenuhi keperluan domestik.
Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan meningkatkan peruntukan subsidi bagi mengurangkan beban rakyat.
“Untuk melindungi rakyat, subsidi kerajaan meningkat daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata, majoriti rakyat serta peniaga terus dilindungi menerusi pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) dan Budi Diesel, yang memastikan harga bahan api kekal terkawal.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan kerajaan akan terus memantau perkembangan geopolitik global dan mengambil langkah sewajarnya bagi menjamin kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
“Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, usaha melindungi kebajikan dan kesejahteraan rakyat tetap menjadi keutamaan Kerajaan Madani,” katanya. — Edisi 9

