CYBERJAYA – Jumlah pemberian dos pertama vaksin bagi dewasa di Kuala Lumpur mencatatkan jumlah tertinggi apabila melepasi 103.7 peratus sehingga tengah malam tadi.
Data yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memaklumkan, daripada peratusan tersebut, ia membabitkan sebanyak 1,398,957 dos pertama manakala 358,619 dos kedua.
Ekoran itu, timbul persoalan berhubung jumlah peratusan yang dianggap ‘melebihi’ jumlah penduduk sehingga menimbulkan keraguan dalam kalangan netizen.
Bagaimanapun kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa boleh dikatakan sudah menjawab keraguan orang ramai berhubung data tersebut.
Annuar berkata, walaupun jumlah itu melebih 100 peratus penduduk berusia 18 tahun ke atas tetapi ada dalam kalangan yang menerima suntikan bukannya warga Kuala Lumpur.
Jelas beliau, masih terdapat warga ibu kota yang masih belum menerima suntikan dan beliau menggesa mereka segera mendaftar untuk mendapatkan vaksinasi.
“Tidak mustahil untuk kita membuka ibu kota lebih awal apabila sejumlah tertentu warga ibu kota sudah selesai vaksinasi. Jika itu terjadi, tidak mustahil hanya mereka yang sudah disuntik sahaja bebas bergerak menjalankan aktiviti, sementara yang belum, perlu kawal dan dihadkan pergerakan,” katanya menerusi Twitter hari ini.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sebanyak 291,217 dos suntikan vaksin COVID-19 diberikan, semalam, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin di seluruh negara kini mencecah 11,366,710 dos.
Beliau berkata, daripada jumlah pemberian dos harian itu, sebanyak 190,186 adalah dos pertama manakala 101,031 adalah dos kedua.
Katanya, Selangor menerima vaksin tertinggi semalam, dengan 63,043 dos diikuti Sarawak (56,525); Kuala Lumpur (48,996); Perak (19,282) dan Johor (19,231).
“Lain-lain, Negeri Sembilan (18,319); Sabah (13,753); Pulau Pinang (10,789); Kelantan (10,735) dan Terengganu (9583).
“Seterusnya, Kedah (7,917); Pahang (6,101); Perlis (2,622); Putrajaya (2,238); Labuan (2,035) dan Melaka dengan 30 dos,”katanya menerusi hantaran di Twitter di sini.
Menurutnya, jumlah keseluruhan pemberian vaksin COVID-19 dos pertama adalah sebanyak 7,840,034 dos dan dos kedua 3,526,676. – Edisi 9