25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Ebit Lew lapor polis, dakwa difitnah isu misi ke Gaza

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan dan isu yang tular menerusi media sosial berhubung misi kemanusiaannya ke Gaza, Palestin.

Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.

Ebit berkata, beliau telah difitnah dalam isu yang tular kebelakangan ini dan akan membuat penjelasan lanjut dalam satu sidang media yang akan dijadualkan dalam masa terdekat.

“Kalau boleh saya tidak mahu balas dari awal saya tidak pernah apa-apa kenyataan, hari ini saya pergi ke balai untuk membuat laporan polis kerana perkara ini sangat mengganggu dan menyedihkan.

“Saya kecewa tentang perkara ini, saya menafikan semua tuduhan yang dibuat dan ia adalah fitnah semata-mata, ia adalah fitnah,” katanya dalam sidang media di sini.

Dalam masa sama, katanya, dengan pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap dirinya telah mengakibatkan memberi kesan bukan sahaja terhadap dirinya malah keluarga.

“Lama saya diamkan diri, tak nak bercakap apa-apa, namun, bila isteri saya menangis, anak saya menangis, tanya saya macam saya ada buat kesalahan besar, jadi saya tampil buat laporan polis,” katanya.

Bagaimanapun, beliau serahkan kepada peguam untuk tindakan lanjut sama ada akan saman malu atau sebagainya.

Ebit memaklumkan dalam laporan polis tersebut beliau menamakan beberapa individu antaranya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri, penyanyi rap Caprice dan beberapa nama lain.

Sebelum ini penyanyi rap, Caprice mendedahkan menerusi media sosial mengenai misi Ebit di Gaza yang menghulur bantuan termasuk perkongsian gambar memberi hadiah kepada kanak-kanak Palestin.

Hari ini Nadir, menerusi aplikasi Telegram, pula mendakwa Ebit Lew telah membayar sejumlah wang yang besar kepada satu ejen untuk membawa masuknya ke Semenanjung Gaza dari Mesir.

Ekoran tindakan Ebit itu dikatakan menjadi penyebab pertubuhan lain yang mahu memasuki Gaza menjadi lebih sukar, termasuk Biro Kebajikan UMNO yang membawa misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Palestin (HM2P) yang diturut disertai Caprice. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan