36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Ebit Lew ke Gaza sampaikan bantuan kemanusiaan Palestin

Mesti Baca

CYBERJAYA – Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew memulakan perjalanan ke Gaza untuk memenuhi misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di wilayah itu malam tadi.

Menerusi Facebooknya, Ebit memohon orang ramai agar mendoakan perjalanan beliau dan misi bantuan kemanusiaan itu dipermudahkan oleh Allah.

Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Wisma Putra yang menyokong dan membantu mempermudahkan misi tersebut.

Ucapan terima kasih turut dihulurkan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas semangat, doa dan sokongan yang diberikan.

“Pohon doakan ya Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza Palestin. Semoga Allah bantu dan mudahkan semuanya. Ya Allah bantulah kami dan hanya kepadaMu kami berserah.

“Terima kasih Datuk Seri Hishammuddin dan Wisma Putra kerana sokong dan bantu permudahkan misi kemanusiaan ini. Semoga setiap usaha kita demi rakyat Palestin dirahmati Allah SWT.

“Terima kasih Tunku Mahkota Johor yang memberi semangat dan doa. Terima kasih dan penghargaan juga kepada Perdana Menteri yang turut memberi sokongan misi kemanusiaan ini demi rakyat Palestin,” katanya menerusi Facebook beliau, malam tadi.

Ebit terbang ke Kaherah, Mesir menggunakan pesawat Turkish Airlines yang ditaja oleh syarikat penerbangan itu, sebelum masuk ke semenanjung Gaza.

Sementara itu Hishammuddin menyambut baik usaha Ebit untuk ke Gaza bagi menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin.

“Tiada kata-kata lain daripada saya buat Ustaz Ebit Lew dan delegasi beliau melainkan terima kasih atas usaha yang sangat mulia ini demi saudara mara kita di Palestin.

“Insya-Allah Ustaz, sokongan dan doa saya serta seluruh warga Wisma Putra akan sentiasa iringi perjuangan Ustaz. Semoga Allah SWT akan melindungi Ustaz dan delegasi serta memudahkan urusan misi kemanusiaan ini.

“Perlukan apa-apa maklum sahaja. Insya-Allah, perwakilan Malaysia di Kaherah, Mesir akan cuba bantu. Semoga selamat sampai ke destinasi Ustaz!” kata beliau menerusi Facebook.

Beberapa hari sebelum Aidilfitri, rejim zionis Israel telah melancarkan serangan udara ke wilayah Palestin di Gaza yang mengorbankan ratusan nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak.

Pergolakan selama lebih 10 hari itu berlaku ketika umat Islam sedang berpuasa di bulan Ramadan dan berlarutan sehingga Aidilfitri. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan