24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Aziz Fadzir dilantik Pengerusi Eksekutif TH Heavy Engineering

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – TH Heavy Engineering Berhad mengumumkan pelantikan ahli politik, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir sebagai Pengerusinya mulai semalam.

Perkara itu dinyatakan oleh syarikat minyak dan gas itu dalam makluman di Bursa Malaysia pada hari yang sama.

Ahli politik berusia 58 tahun itu menggantikan Ir Abdul Manap Ali Hasan yang dilantik semula sebagai pengarah bebas bukan eksekutif di syarikat tersebut.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TH Heavy Engineering memberitahu, Abd Aziz memilik Ijazah Sarjana Muda Sains Perakaunan dari Purdue University di Indiana, Amerika Syarikat.

Dia memulakan kerjaya pada 1986 sebagai Penyelaras Projek di Pembangunan Kulim Sdn Bhd.

Kemudian, pada 1989, Abd Aziz menjadi Pengarah Eksekutif Gold Bridge Engineering & Construction Berhad.

Bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru yang gagal mempertahankan kerusinya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu juga pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Safeguard Corporation Berhad dan Destini Berhad.

Dia pernah dilantik sebagai Pengarah dan Pengerusi Eksekutif Kretam Holdings Berhad (KHB) mulai 1 Julai 2002 hingga Julai 2018.

Abd Aziz juga pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif KHB.

Dalam makluman di Bursa Malaysia pada 20 Mei lalu, TH Heavy Engineering menyatakan, Bursa Malaysia telah meluluskan permohonannya bagi mendapatkan lanjutan enam bulan sehingga 22 Mei ini untuk menghantar pelan pengaturcaraan mengenai status PN17.

Advertisements

Bursa Malaysia berhak menggantung urus niaga sekuriti TH Heavy Engineering yang tersenarai sekiranya syarikat tersebut gagal memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan.

Langkah itu boleh diambil pada hari keenam pasaran selepas tarikh pemberitahuan penggantungan oleh Bursa Malaysia sebelum tindakan menyahsenaraikan syarikat dilakukan.

Walaupun tidak dinyatakan dalam makluman di Bursa Malaysia, Abd Aziz pernah menyandang jawatan Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (M) Berhad mulai 7 Jun 2018 sehingga syarikat akhbar bahasa Melayu tertua di Malaysia itu gulung tikar secara mengejut pada 10 Oktober 2019.

Dia meletak jawatan secara tiba-tiba enam bulan kemudian, kira-kira dua minggu selepas lebih 800 pekerja Utusan Melayu meninggalkan syarikat tersebut selepas menerima tawaran Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

Tidak berapa lama kemudian, Abd Aziz Sheikh Fadzir kembali menjadi Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu semula sehingga hari terakhir syarikat beroperasi.

Ahli-ahli Kesatuan Wartawan Kebangsaan Utusan Melayu (NUJ-UM) melancarkan piket pada 19 Ogos 2019 apabila syarikat yang ketika itu diterajui Abd Aziz Sheikh Fadzir gagal melunaskan tunggakan gaji selama berbulan-bulan. – Gambar: Sinar Harian

Sehingga kini, lebih 1,600 bekas pekerja Utusan Melayu dibiarkan dalam keadaan digantung tidak bertali di mana mereka yang menerima tawaran VSS tidak menerima pampasan penuh.

Lebih menyedihkan, kira-kira 800 lagi bekas pekerja yang setia berkhidmat sehingga hari terakhir Utusan Melayu beroperasi masih menanti-nanti pampasan pemberhentian kerja secara mengejut.

Keadaan menjadi sangat buruk kepada bekas-bekas pekerja terbabit dan keluarga mereka sehingga ada yang terpaksa bergantung kepada sumbangan orang ramai dalam tempoh beberapa bulan pertama selepas hilang pekerjaan.

Sehingga kini, bekas-bekas pekerja Utusan Melayu masih berharap akan menerima pampasan yang dijanjikan dan ada dalam kalangan mereka yang telah meninggal dunia. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan