36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Doktrin palsu agama Islam: Ibu Yati, 2 individu didakwa

Mesti Baca

CYBERJAYA – Tiga individu termasuk bekas wartawan, Wan Norhayati Wan Alias atau lebih dikenali sebagai Ibu Yati mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor hari ini atas pertuduhan menjelaskan doktrin palsu berkaitan agama Islam termasuk melalui Facebook, antara Disember tahun lepas hingga Februari tahun ini.

Ketiga-tiga tertuduh Wan Norhayati, 42, Noorafiza Ahmad, 46, dan Abdul Hamid Yeop Zainnuddin, 60, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shaii. 

Wan Norhayati dan Noorafiza masing-masing menghadapi tiga dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995 iaitu menjelaskan doktrin yang bertentangan dengan hukum syarak, lapor Bernama.

Abdul Hamid pula menghadapi dua pertuduhan di bawah seksyen yang sama serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995 kerana mempersendakan ayat al-Quran.

Di bawah Seksyen 7 Enakmen tersebut, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga tiga tahun, denda RM5,000 atau enam sebatan atau kombinasi kesemua hukuman itu.

Di bawah Seksyen 9 Enakmen yang sama, sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Wan Norhayati dan Noorafiza dituduh melakukan kesemua kesalahan itu pada 2 Disember hingga 2 Februari lepas menggunakan akaun Facebook masing-masing, sementara Abdul Hamid pula kira-kira pukul 9 malam pada 2 Februari di Taman Dato Razali, Kampung Melayu Ampang dekat sini. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pendakwa Syarie Zainor Rashid Hassim dan kesemua tertuduh diwakili Peguam Wan Amir Akram Zainal Abidin.

Mahkamah menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM11,000 kepada Wan Norhayati, RM5,000 kepada Noorafiza dan RM9,000 kepada Abdul Hamid dengan masing-masing dua penjamin dan kesemua mereka perlu melapor diri di Pejabat Agama Islam Daerah terdekat serta dilarang memuat naik apa-apa status dalam media sosial.

Kes bagi Wan Norhayati dan Noorafiza akan disebut semula pada 2 November ini manakala Abdul Hamid pada 18 Jan 2022. 

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan