32.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

APEC: Malaysia syor 3 keutamaan capai kestabilan ekonomi

Mesti Baca

PUTRAJAYA – Tiga keutamaan disyorkan oleh Malaysia sebagai panduan bagi negara-negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bagi mencapai kestabilan ekonomi ketika dunia masih berdepan penularan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keutamaan pertama adalah negara anggota perlu memperkukuhkan kerjasama untuk akses bekalan vaksin COVID-19 yang adil dan berpatutan.

Menurut beliau, dapat dilihat bahawa ada hubungan antara keberhasilan program vaksinasi atau peningkatan kadar inokulasi dan kemampuan untuk mempercepatkan proses pemulihan ekonomi.

“Dengan penyebaran varian baharu, vaksin COVID-19 menjadi penghubung nyawa bagi masyarakat kita dan dalam hal ini, kita mesti memastikan bahawa jurang vaksinasi global yang jelas bukanlah halangan dalam usaha kita mencapai imuniti kelompok.

“Kita mesti bertindak memastikan tiada ekonomi yang tertinggal di akhir garisan penamat COVID-19,” katanya dalam sesi intervensi Pemukiman Tidak Rasmi Pemimpin APEC secara maya petang semalam.

Sesi tertutup itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern.

Muhyiddin memberitahu, Malaysia menyokong inisiatif untuk meningkatkan kemampuan vaksin global, termasuk perundingan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dalam mengabaikan beberapa peruntukan dalam Perjanjian Perdagangan WTO berkaitan Aspek Hak Harta Intelek (TRIPS).

Advertisements

Tambah beliau , ia adalah langkah luar biasa yang perlu diambil dalam keadaan tidak dijangka.

“Saya juga memahami bahawa perundingan memakan masa. Oleh itu, saya meminta kuasa ekonomi yang menghasilkan vaksin, mengelakkan berlakunya lambakan bekalan dan berkongsi vaksin dengan pihak yang memerlukan,” jelasnya.

Perdana Menteri berkata, keutamaan kedua adalah perlunya kerjasama bagi memudahkan proses pergerakan barangan keperluan dan tidak melaksanakan sebarang langkah mengehadkan perdagangan baharu sepanjang tempoh kritikal ini.

“Ketika kita berdepan penularan, peningkatan kes COVID-19 dan menguruskan sekatan pergerakan, sudah tentu aliran perdagangan global akan terganggu kecuali kita menangani isu ini secara kolektif.

“Saya percaya kenyataan bersama Menteri-Menteri Perdagangan baru-baru ini, menyuarakan komitmen untuk mendepani cabaran ini. APEC tidak boleh dilihat sebagai antitesis kepada pelaburan dan perdagangan terbuka.

“Antara usaha yang boleh dilakukan APEC ialah dengan berkongsi maklumat. Usaha kolektif ini amat membantu dalam meningkatkan rantaian bekalan, mengurangkan risiko, menangani isu berbangkit, mengelakkan harga yang terlalu tinggi dan kekurangan bekalan,” ujarnya.

Menurut beliau, keutamaan ketiga adalah APEC perlu mengambil peluang menjadi pihak dalam menghidupkan kembali industri pelancongan dan kesalinghubungan manusia yang terjejas teruk akibat COVID-19. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan