27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Rentaka setia ‘kawal’ pusara Kedatuan Bajau

Mesti Baca

Oleh MOHD AZRONE SARABATIN

KOTA BELUD – Jika menziarahi Tanah Perkuburan Islam Kampung Labuan di sini, ada beberapa pusara menggunakan meriam kecil dikenali ‘lentaka’ atau rentaka sebagai batu nisan.

Rentaka adalah sejenis meriam mudah alih, ringan dan kecil dan biasanya diperbuat daripada besi atau tembaga.

Salah satu daripada pusara menggunakan selaras rentaka sebagai batu nisan menarik perhatian penulis kerana bentuk binaan pusara (kapok kubur) mirip sebuah perahu.

Selepas berjumpa dengan beberapa penduduk kampung termasuk membuat rujukan di Pejabat Daerah Kota Belud, rupanya ia adalah pusara Almarhum Datu Tumongong atau lebih dikenali Datu Tumanggong, iaitu bangsawan Bajau dan ketua masyarakat itu pada zaman silam.

Datu Tumanggong
Catatan mengenai tokoh masyarakat Kota Belud pada zaman kolonial termasuk Datu Tumanggong. – Gambar: Ihsan penduduk Kampung Labuan

Ketika William Pretyman menjadi Residen Inggeris yang pertama di Tempasuk (sekarang Kota Belud) bermula dari tahun 1878 hingga 1888, Datu Tumanggong dilantik Ketua Masyarakat Bajau dan tokoh penting menyatupadukan tiga kaum utama di Kota Belud, iaitu Bajau, Dusun (Kadazandusun) dan Iranun.

Datu Tumanggong juga adalah seorang pedagang yang sering belayar menggunakan ‘lamak’ iaitu kapal layar tradisi pada zaman silam termasuk ke Brunei Darussalam dan negara di sekitar nusantara seperti Filipina dan Indonesia.

Bekas Ketua Kampung Wakap, Diman Taop dalam pertemuan dengan penulis beberapa tahun lalu berkata, apabila tiba di pelabuhan Pulau Gentisan berhampiran masjid ‘endang’ atau masjid lama Balai Diah (sekarang Masjid As-Salam) Kampung Tanjung Pasir Labuan, di sini, beliau disambut dengan paluan gong dikenali Gantang Lasa.

Bukan kerana mengagung-agungkan tokoh itu tetapi sebagai tanda bersyukur kerana Datu Tumanggong selamat pergi dan kembali.

Katanya, Datu Tumanggong membawa bersama pelbagai hasil pertukaran barang dengan pedagang luar termasuk dari Brunei Darussalam.

Barang dagangan yang dijual Datu Tumanggong kebanyakannya dibeli daripada masyarakat tempatan seperti padi, buah-buahan, kuih-muih, parang dan kraf tangan.

Beliau berkata, antara barangan yang kerap dibawanya balik pula adalah tiga gulung kain berwarna kuning, merah dan putih pesanan bangsawan tempatan bergelar ‘Datu’ untuk dijadikan hiasan ‘usungan nelembaan’ (tandu berhias).

usungan nelembaan rentaka
Tandu berhias atau ‘Usungan Nelembaan’ masih digunakan keturunan ‘Kedatuan’ yang diwarisi sejak zaman Datu Tumanggong. – Gambar: Mohd Azrone Sarabatin

“Kain berwarna putih juga dijadikan ‘tungkus’ (kain kafan),” katanya yang turut menyimpan selaras rentaka warisan moyangnya.

Diman berkata, pelantikan sebagai pemimpin mewakili masyarakat Bajau langsung tidak menggugat perjuangan Datu Tumanggong untuk terus menentang penjajah British.

Beliau amat tegas dengan pendiriannya dan sanggup dipecat sekiranya kepentingan masyarakat berbilang kaum di Tempasuk diabaikan British sehingga Almarhum sangat dihormati bukan saja oleh kaumnya malah pemerintah British dan pemimpin masyarakat Kadazandusun dan Iranun.

itu sejarah silam yang berlalu kira-kira 143 tahun lalu dan ketika ini Pulau Gentisan tempat persinggahan pedagang dan pendakwah pada zaman silam kini hanyalah tapak kecil yang hanya mampu menempatkan serumpun bambu dan tiada lagi pelabuhan yang masyhur pada zaman kegemilangan Kampung Labuan.

Bagaimanapun, usungan berhias yang digunakan untuk mengusung pengantin lelaki ke rumah pasangannya dan membawa jenazah berketurunan Datu ke tanah perkuburan masih diamalkan segelintir masyarakat Bajau berdarah ‘Kedatuan’ (Bangsawan bergelar Datu) yang menetap di Kota Belud.

Perhiasan usungan termasuk corak membentuk kalimah Allah dan Muhammad, selain lakaran kuda serta bulan dan bintang ditenun menggunakan benang atau manik, sekali gus membuktikan ia memiliki kesenian tinggi.

usungan nelembaan
Pengantin lelaki diarak ke rumah pasangannya mengunakan tandu berhias atau ‘usungan nelembaan’ yang masih diamalkan keturunan ‘Kedatuan’ yang diwarisi sejak zaman Datu Tumanggong. – Gambar: Mohd Azrone Sarabatin

Kesenian yang cukup tinggi itu bukan mudah untuk dihasilkan sekiranya tidak memiliki daya kreativiti dan hanya mereka yang teliti dan sabar saja dapat menghasilkan seni kraf tangan yang cukup indah itu.

Diman yang juga pengamal budaya Bajau, berkata, ketika ini mengusung pengantin lelaki ke rumah pasangannya diubah mengikut perkembangan semasa iaitu menggunakan kenderaan ‘pikap’ atau pacuan empat roda.

Sekiranya pengantin lelaki bernikah dengan pasangannya dari daerah luar, usungan tetap dikekalkan tetapi perarakan dibuat pada jarak 100 meter daripada rumah pasangannya, bukannya sepanjang perjalanan dilalui.

Beliau berkata, usaha itu dilakukan untuk mengekalkan warisan berharga yang dimiliki oleh keturunan ‘Kedatuan’ mempelai terbabit, sekali gus menjadi daya tarikan tetamu yang menghadiri majlis itu.

“Ketika ini, usungan berhias turut digunakan untuk menyambut pembesar negara, negeri dan tempatan dan ia tidak menyalahi adat kerana mereka juga adalah golongan kenamaan yang seharusnya disambut besar-besaran,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Warga Israel bersama 6 pucuk senjata api ditahan

SEORANG lelaki warga Israel ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang,...

Lagi Artikel Berkaitan