29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

452 anggota polis, keluarga positif Covid-19 sedang dirawat

Mesti Baca

CYBERJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ketika ini seramai 452 anggota polis dan keluarga disahkan positif Covid-19 sedang dirawat manakala 2,339 lagi sedang menjalani perintah kuarantin.

Katanya, sejak 18 Mac tahun lalu hingga semalam seramai 39,164 anggota polis dan ahli keluarga disahkan positif Covid-19 dan dikuarantin.

“Itu belum campur angka hari ini (Jumaat). Hari ini anggota (dan keluarga) yang positif melebihi 150 orang, cuma angka itu belum disahkan.

“Dalam keadaan kes jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat ini, PDRM juga terlibat. Saya minta semua rakyat, kita jaga sama kita,” katanya.

Beliau berkata demikian di Kuala Lumpur selepas melakukan pemeriksaan di dua lokasi tapak pembinaan bersempena Op Patuh.

Hamzah memberitahu, daripada hampir 2,800 kes positif Covid-19 dan kuarantin dalam kalangan anggota polis dan keluarga, sebahagian besar daripada mereka sudah menerima dua dos suntikan vaksin dan sebahagian lagi sudah menerima suntikan dos pertama.

Sebahagian pekerja binaan diperiksa dalam Op Patuh di salah satu lokasi di Kuala Lumpur.

Beliau turut menggesa kesemua anggota PDRM mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan undang-undang sedia ada bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.

“SOP ini bukan hanya kepada rakyat, ia disiplin untuk semua. Oleh itu semua peringkat jika lakukan kesalahan mesti dikompaun. Ramai menteri pun sudah dikompaun.

“Begitu juga dengan polis, jika langgar SOP akan diambil tindakan. Jika amanah diberikan kepada pihak polis dan mereka langgar amanah ini, pada saya orang seperti ini tidak harus ada dalam pasukan,” katanya ketika mengulas kes tangkapan pegawai polis yang didakwa terlibat dalam parti liar di sebuah balai polis.

Mengenai Op Patuh di kawasan pembinaan tersebut, Hamzah berkata, dua tapak pembinaan di Mont Kiara dan Penchala diperiksa dan terdapat 168 warga asing bekerja di kawasan terbabit.

Daripada jumlah itu, katanya, 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan Akta Imigresen 1958/63 untuk tindakan serta siasatan selanjutnya oleh pihak Jabatan Imigresen.

“Tindakan juga diambil terhadap majikan yang telah didapati menggaji PATI secara tidak sah.

“Jika disabitkan dengan kesalahan dibawah seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, majikan boleh didenda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap orang pekerja yang diambil,” katanya.

Tambahnya, jika bilangan pekerja PATI berkenaan melebihi lima orang, hukuman yang boleh dikenakan ialah penjara tidak kurang 6 bulan tetapi tidak lebih 5 tahun serta boleh dikenakan sebatan tidak melebihi 6 kali sebatan. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan