25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tangani segera isu pegawai perubatan kontrak – CUEPACS

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan menangani segera isu status kontrak pegawai perubatan di Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan kebajikan dan pembangunan kerjaya doktor-doktor muda tersebut terjamin.

Presidennya, Adnan Mat berkata, isu ini dilihat semakin panas apabila terdapat seruan Hartal Doktor Kontrak untuk pegawai perubatan kontrak melakukan mogok pada Julai depan sekiranya kerajaan tidak menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka sekian lama.

Menurut beliau, CUEPACS sejak sekian lama berpendirian bahawa lantikan kontrak tidak sepatutnya diamalkan untuk penjawat awam apatah lagi bagi perkhidmatan perlu seperti sektor kesihatan.

“Dalam hal ini, CUEPACS berdiri teguh dan bersolidariti dengan doktor-doktor muda ini dan MMA dalam memperjuangkan hak pekerjaan mereka untuk mendapat status lantikan tetap.

“Bagaimanapun CUEPACS tidak menyarankan seruan Hartal Doktor Kontrak diteruskan kerana dikhuatiri menjejaskan perkhidmatan kesihatan awam negara yang berada dalam situasi genting ketika ini.

“CUEPACS bersedia menjadi penghubung bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pegawai perubatan muda ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Adnan menambah, ketika negara sedang dilanda pandemik dan kepakaran serta khidmat bakti pegawai perubatan muda ditagih, mereka sebenarnya terhimpit dengan status kontrak yang tidak memberi jaminan kerjaya.

Beliau memberitahu, dengan kontrak disambung dari tahun ke tahun, mereka juga menerima gaji, elaun dan cuti yang terhad berbeza dengan doktor tetap.

“Lebih menyedihkan lagi pegawai perubatan kontrak ini tidak berpeluang menyambung kepakaran mereka ke tahap yang lebih tinggi untuk bergelar pakar kerana status kontrak tersebut.

“Dengan ketiadaan jaminan dalam pekerjaan dan pembangunan kerjaya, pegawai perubatan muda ini sukar membuat perancangan masa depan kerana sentiasa menunggu penyambungan kontrak setiap masa,” jelasnya.

Adnan berkata, CUEPACS tidak mahu situasi yang berlaku ketika ini memberi kesan jangka panjang kepada sektor perkhidmatan kesihatan awam negara apabila baka-bakal doktor muda melihat tiada sinar masa depan di negara sendiri dan memilih untuk berkhidmat di luar negara.

Menurut beliau, ketika itu, apabila negara kekurangan tenaga pakar barulah kita semua sedar kesilapan yang telah dibuat.

“Selain itu, CUEPACS merasaskan adalah tidak wajar sektor perlu seperti KKM tertakluk dengan Dasar Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam.

“Perkara ini perlu diteliti semula kerana ia keperluan yang amat penting untuk rakyat dan negara,” ujarnya.

Tambah Adnan, CUEPACS berharap kerajaan dapat menyelesaikan masalah berkenaan dengan segera.

“Berilah pegawai perubatan muda ini sinar dalam kerjaya mereka apatah lagi keringat mereka ketika ini sedang dikerah secara berterusan,” katanya.
Beliau menyatakan, pertambahan penduduk Malaysia sekitar 900,000 ke sejuta orang setiap tahun juga memerlukan pertambahan doktor bagi merawat dan mengendalikan fasiliti kesihatan negara.

“Jadi, tiada salahnya untuk kerajaan mempertimbangkan pemberian lantikan tetap kepada pegawai perubatan berstatus kontrak ini yang telah terbukti kompetensinya dalam perkhidmatan semasa negara sedang mengalami darurat kesihatan,” katanya. – EDISI 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan